PENYANYI Tegar sekali lagi berdepan ujian hidup apabila dihalau keluar dari rumahnya selepas gagal membayar sewa.
Penyanyi berusia 22 tahun itu meluahkan rasa sedih dan bingung kerana kediaman tersebut turut didiami ibu bapanya.
“Apa yang harus aku lakukan, aku harus bayar sewa rumah. Kasihan sama orang tua aku, kalau tidak bayar mereka mahu tidur di mana?” tulisnya dalam hantaran InstaStory.
Bekas peserta Big Stage 2022 itu turut berkongsi beberapa perbualan dalam aplikasi WhatApps yang memberitahu ibunya sudah beberapa hari tidak makan.
Selain itu, penyanyi lagu Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang itu juga mendedahkan masalah kewangan yang dihadapi gara-gara sering ditipu dan tidak mendapat wang royalti hasil nyanyiannya.
“Kenapa jadi begini kerana aku selalu kena tipu. Semoga kamu faham maksud aku, royalti pun belum sepenuhnya dapat,” ujarnya.
Tegar sebelum ini pernah mencuri perhatian apabila kembali menjadi penyanyi jalanan selepas tidak mendapat tawaran persembahan.
Bahkan, kehidupannya dirundung malang apabila perkahwinannya dengan bekas isteri, Sarah Sheilka tidak bertahan lama selepas mereka sah bercerai pada Jun lalu.
Perceraian pasangan muda itu juga berpunca akibat masalah kewangan. – KOSMO! ONLINE