fbpx

Skim takaful sehingga RM440,000 untuk polis, penguat kuasa bersenjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yahaya (dua kanan), dan Adnan (paling kanan), merasmikan Pelancaran Program Takaful Khas untuk Anggota Polis dan Penguat Kuasa Bersenjata, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memperkenalkan skim takaful myPolisPa dan myPenguatkuasaPa bagi memberi perlindungan khas kepada anggota polis dan penguat kuasa bersenjata.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, kedua-dua skim tersebut menawarkan perlindungan kewangan sehingga RM440,000 dengan bayaran serendah RM8 sebulan.

Kata beliau, inisiatif tersebut dilaksanakan untuk memastikan kebajikan anggota beruniform terjamin memandangkan tidak banyak polisi takaful yang menawarkan perlindungan.

“Cuepacs berharap myPolisPa dan myPenguatkuasaPa mampu memberi perlindungan kewangan memandangkan tugas polis dan penguat kuasa yang sentiasa terdedah kepada bahaya.

“Kedua-dua program takaful ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 anggota polis dan penguat kuasa bersenjata di Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan kakitangan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Program Takaful Kemalangan Diri di Hotel Seri Pacific, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, antara manfaat yang ditawarkan dalam skim berkenaan adalah perlindungan kemalangan dalam pengangkutan awam, kenderaan persendirian dan pembunuhan.

Selain itu, katanya, perlindungan itu juga diberikan sekiranya anggota terlibat dalam serangan, mogok, rusuhan, panahan petir, pendedahan radiasi, kehilangan termasuk perbelanjaan perubatan akibat kemalangan serta khairat kematian.

“Risiko berlakunya kemalangan dalam kalangan anggota polis dan penguat kuasa bersenjata sangat tinggi. Melalui pengenalan program takaful mampu milik ini, Cuepacs berharap penjawat awam tidak membiarkan diri mereka ‘kosong’ tanpa perlindungan tambahan.

“Walaupun di pihak kerajaan ada memberikan bantuan kewangan, perlindungan tambahan ini sekurang-kurangnya mampu memberi kelegaan kepada ahli keluarga sekiranya terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI