GUA MUSANG – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah membuka platform media sosial, TikTok bulan lalu sebagai langkah untuk mendekati anak muda dan memperoleh input mengenai isu semasa.
Tengku Razaleigh atau Ku Li, 85, berpendapat, aplikasi itu mempunyai kepentingan terutamanya bagi seorang wakil rakyat seperti dirinya untuk seiring dengan perkembangan zaman.
“Saya melihat TikTok sebagai satu pendekatan untuk merapatkan jurang dengan masyarakat yang terpisah akibat jarak dan kekangan yang lain.
“Muda mudi daripada usia 18 tahun ke atas tidak terkecualo. Saya melihat, bukan hanya anak muda, semua golongan masyarakat menggunakan TikTok,” katanya kepada pemberita selepas program beramah mesra dengan penduduk Cina di Kampung Batu Papan 2 di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di akaun TikTok ‘Tengku Razaleigh Hamzah’ sehingga hari ini mempunyai 2,751 pengikut.
Perkongsian video Ku Li berkenaan ‘Mengapa Saya Lawan Dr. Mahathir’ mencatatkan paparan tertinggi sebanyak lebih 64, 000 daripada pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE