REMBAU – Dua daripada lima calon kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bertembung ketika berkempen di Pasar Malam Chembong, di sini, petang tadi.
Calon Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan calon Pakatan Harapan (PH) Jufitri Joha secara kebetulan bertembung pada pukul 6.24 petang dalam jadual bertemu pengundi di tempat yang sama.
Sebelum kehadiran mereka, pengikut kedua-dua parti sudah pun berada di pasar malam tersebut dan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat tiba sekitar pukul 5.50 petang, manakala calon PH tiba 20 minit selepas itu.
Mereka bertembung di pertengahan pasar malam dan kedua-dua calon sempat beramah mesra.
Bagi pengunjung di lokasi berkenaan, Amira Hassan, 36, berkata, dia tidak menyangka akan bertembung dengan calon PRU15 di lokasi berkenaan dalam waktu yang sama.
“Rasa seronok sebab berpeluang bergambar terutamanya dengan Tok Mat. Bagaimanapun, sebagai pengundi, besar harapan saya agar PRU15 ini akan dapat membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan tidak ‘berkecamuk’ lagi,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE