fbpx

PRU15: Calon BN mahu bina hab perindustrian di Tanjong Karang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Habibah (tengah)menyantuni penduduk setempat di sekitar Tanjong Karang.

KUALA SELANGOR – Mewujudkan Taman Hab Perindustrian antara manifesto utama calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd. Yusof dalam merancakkan lagi ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat terutama golongan belia.

Menurut Habibah, objektif inisiatif itu bertujuan mengurangkan penghijrahan anak muda tempatan ke kawasan bandar.

“Sebagai contoh, Kuala Selangor mempunyai Puncak Alam yang pesat membangun kerana mempunyai kawasan perindustrian berskala besar.

“Tanjong Karang turut memiliki potensi itu yang perlu diwujudkan bagi menjadikan parlimen ini sebagai hab perindustrian di Selangor,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan manifesto itu, hari ini.

Jelas Habibah, hab eko dan agro pelancongan sedia ada turut perlu diperluaskan selain memfokuskan pertumbuhan keusahawanan.

“Saya juga mahu menaik taraf rangsangan jaringan capaian internet dan memperkasakan hab teknologi atau siber kepada generasi muda. Ia termasuk menyokong keperluan sektor pendidikan ‘EduGajet’ selain keutamaan bagi pendidikan khas,” ujarnya.

Tambah beliau, isu ban pecah dan infrastruktur turut menjadi fokus utama yang perlu diselesaikan sebaik mungkin.

“Masalah ban pecah yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini perlu diatasi menerusi kaedah teknologi terkini dan jangka panjang.

“Beberapa jalan utama dan alternatif juga perlu dinaik taraf selain membaiki jeti nelayan sedia ada,” katanya.

Parlimen Tanjong karang menyaksikan pertembungan lima penjuru termasuk dari Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Datuk Dr. Zulkapferi Hanaf, Siti Rahayu Bahari (Pakatan Harapan) Azlan Sani Zawawi atau dikenali sebagai Lando (Gerakan Tanah Air) dan pesara kerajaan yang bertanding sebagai calon Bebas, Mohd. Rosni Mastol. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI