KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) yakin mampu menarik semula pelabur-pelabur asing ke negara ini, sekali gus dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat terutama sekali golongan muda.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan berusaha untuk mendapatkan semula kepercayaan daripada pelabur-pelabur asing yang telah hilang ekoran ketidakstabilan politik negara sejak kebelakangan ini.
“Pelabur asing perlukan kestabilan politik. Kita lihat bagaimana apabila BN memenangi lebih dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, negeri Johor di bawah pemerintahan dua menteri besar sebelum BN berada dalam kedudukan yang keenam dari segi pelaburan negeri asing.
“Hanya sembilan bulan selepas BN menjadi kerajaan, Johor dari kedudukan keenam terus nombor satu dalam pelaburan asing. Ini memperlihatkan kepercayaan semula oleh pelabur-pelabur asing di negeri Johor,” katanya ketika berucap pada majlis kenduri rakyat bersama BN di Wangsa Maju di sini hari ini.
Turut hadir calon BN Parlimen Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd Shafei Abdullah.
Terdahulu, Ahmad Zahid memberi amanat kepada jentera BN Wangsa Maju untuk terus menggandakan usaha supaya kemenangan memihak kepada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Sementara itu, Mohd. Shafei berkata, beliau akan mengumumkan manifesto khas bagi Parlimen Wangsa Maju pada minggu depan.
Pada PRU15 ini, kerusi Parlimen Wangsa Maju menyaksikan pertembungan enam penjuru yang ditandingi oleh Mohd. Shafei, calon Pakatan Harapan (PH), Zahir Hassan, calon Perikatan Nasional (PN), Nuridah Mohd. Salleh, calon Gerakan Tanah Air (GTA), Norzaila Arifin, calon Warisan, Wee Choo Keong dan calon Bebas, Ravee Suntheralingam. – KOSMO! ONLINE