SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) tidak berdepan sebarang tekanan di sebalik parti lawan yang mendakwa mampu memenangi jumlah tertentu bagi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN sememangnya sudah mengetahui jumlah kerusi yang mampu dimenangi dengan setiapnya juga telah dikategorikan.
“BN tiada tekanan, sebab kami sudah mengetahui tempat mana kami boleh menang, tempat mana yang putih, yang kelabu putih berapa jumlah, tempat mana kelabu hitam, tiada apa-apa tekanan.
“Begitu juga tempat mana yang menang kita akan kekalkan , mana kerusi yang perlu kita dapatkan semula di situ BN perlu letakkan usaha tambahan, tiada tekanan apa-apa,” katanya semalam.
Mohamad yang juga calon BN Parlimen Rembau menambah, beliau juga mendapat laporan setiap hari dari ‘war room’ BN di ibu negara berhubung perkembangan terkini setiap kerusi yang ditandingi parti itu.
“Setiap malam, saya menerima laporan ‘war room’ mengenai perkembangan terkini kawasan-kawasan, setakat ini, saya agak gembira, tidak ada perkara yang boleh memaksa kita menekan butang panik,” katanya.
Jelas beliau, memang diakui terdapat kerusi yang sukar dimenangi, namun BN tetap perlu bekerja kuat terutama untuk mengurangkan jumlah majoriti undi di kawasan terbabit.
“Ada tempat yang kami tahu susah hendak menang, tidak mengapa, tapi kami akan cuba kurangkan majoriti, supaya apabila campur nanti undi popular, mana-mana pihak tidak boleh memainkan isu, seperti BN menang tetapi undi popular mereka lebih banyak,” ujar Mohamad.