fbpx

PRU15: Asyraf Wajdi berazam tingkat tahap kualiti kehidupan penduduk Gerik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf Wajdi (tengah) dan Salbiah (dua dari kiri) ketika bertemu dengan warga Felda Bersia, Gerik semalam.

GERIK – Meningkatkan tahap kualiti kehidupan serta ekonomi penduduk di Gerik menjadi antara fokus calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Gerik, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, aspek berkenaan merupakan perkara yang dikehendaki oleh warga Gerik yang berpandangan ia berupaya meningkatkan tahap kehidupan mereka di sana.

Katanya, antara perkara yang diperlukan adalah menambah baik klinik-klinik kesihatan agar perkhidmatan bersalin disediakan terutamanya di kawasan Pengkalan Hulu.

“Institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus-kursus jangka pendek yang berkait rapat ekologi atau ekosistem alam sekitar juga perlu perlu ada di sini.

“Ia bagi membolehkan anak-anak muda bergiat secara langsung dengan ekopelancongan,” katanya yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, beliau mengadakan beberapa siri ziarah kasih di beberapa buah kampung di sekitar Gerik sebelum menyertai perlawanan persahabatan bola sepak bersama Bersia FC.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan, institusi pondok di kawasan berkenaan turut perlu diperkasakan memandangkan Gerik terkenal dengan julukan Serambi Mekah di Perak.

“Insya-Allah semua perkara yang menjadi keperluan warga Gerik kita akan suarakan. Paling penting fokus kami adalah untuk membantu rakyat di sini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi di Gerik memberi kepercayaan kepada BN pada PRU15 temasuklah di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pengkalan Hulu dan Temengor.

“Kecemerlangan yang telah pun dilaksanakan Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk Salbiah Mohamed (Temengor) dan Datuk Aznel Ibrahim (Pengkalan Hulu) akan diteruskan saya sendiri. Saya akan meneruskan legasi kepimpinan terdahulu yang banyak menyumbang bakti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI