WASHINGTON – Perkhidmatan Taman Negara (NPS) Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mengenai satu trend baharu yang muncul di negara itu, di mana sebilangan orang didapati menjilat sejenis katak beracun, lapor laman berita Wion News semalam.
Spesies katak dikenali sebagai Gurun Sonora itu terkenal kerana merembeskan sejenis toksin yang boleh memberikan pengalaman halusinogen atau menyebabkan halusinasi.
Katak itu kebanyakannya ditemui di Amerika Utara dan beberapa laporan mendakwa manusia yang bersentuhan dengannya akan mengalami keadaan mental yang agresif.
NPS mengeluarkan amaran rasmi terhadap perbuatan menjilat haiwan itu yang bertujuan mengelakkan orang ramai daripada jatuh sakit akibat terdedah kepada toksin yang dikeluarkan katak terbesar di AS itu.
Perbuatan menjilat katak itu bukanlah trend baharu kerana kebanyakan negara di Benua Afrika dan Amerika Selatan menawarkan perkhidmatan sedemikian di pasaran gelap.
Bagaimanapun, kesan perbuatan itu terhadap kesihatan manusia telah didokumentasikan dengan baik. Selama bertahun-tahun, beberapa kematian direkodkan berkaitan dos berlebihan atau penyalahgunaan toksin itu secara berterusan.
Menurut laman web rasmi monumen kebangsaan AS, Organ Pipe Cactus di Arizona, pengambilan toksin itu menyebabkan halusinasi dan euforia, selain boleh membawa maut sekiranya diambil dalam dos yang tinggi.
“Seperti yang kami katakan dalam kebanyakan perkara yang anda temui di taman negara, sama ada siput pisang, cendawan yang tidak dikenali, atau katak besar dengan mata bersinar di tengah malam, sila elakkan daripada menjilat,” katanya.
Amaran itu bukan sahaja terhad kepada manusia kerana pemilik anjing diminta menahan haiwan peliharaan mereka daripada menjilat katak tersebut kerana toksin itu juga boleh memberi kesan kepadanya.
“Haiwan yang terjejas oleh spesies ini biasanya mabuk melalui mulut, hidung, atau mata,” kata Muzium Gurun Arizona-Sonora kepada akhbar The Guardian. – Agensi