KAJANG – Seorang lelaki maut selepas gagal mengawal kereta yang dipandu lalu melanggar tiang landasan Transit Aliran Massa (MRT) di Jalan Reko di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun memandu kereta jenis Hyundai Gets menuju ke arah Bandar Kajang.
“Namun, apabila tiba di susur jalan berhampiran bangunan Persatuan Dhammaduta Malaysia, kereta yang dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum melanggar tiang landasan MRT.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kemalangan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE