fbpx

Kematian ayah, Cakra Khan lalui titik terendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAPA Cakra Khan, Hermana meninggal dunia akibat angin ahmar pada 21 Ogos 2020.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Indonesia, Cakra Khan melalui titik terendah dalam hidup saat berdepan kematian bapa dan sahabat karibnya dua tahun lalu.

Lebih parah, kehilangan dua insan yang cukup dekat dalam hidupnya itu berlaku semasa dunia termasuk, Indonesia terkesan dek pandemik Covid-19.

Katanya, kehilangan dua insan penting secara berturut-turut dua tahun lalu nyaris membunuh semangatnya namun dia cepat sedar dengan ‘kembali’ ke pangkuan keluarga.

Mengimbau kembali momen yang merenggut emosinya, Cakra berkata, allahyarham meninggal dunia ketika dia dalam perjalanan menjayakan sebuah konsert.

“Bapa meninggal dunia akibat angin ahmar di hospital. Sepanjang dirawat di hospital, saya menemaninya.

“Sehinggalah satu hari saya meninggalkan bapa untuk menjayakan konsert tetapi dalam perjalanan saya dimaklumkan tentang kondisinya.

“Terus saya berpatah balik ke hospital dan membatalkan konsert. Tak sempat sampai, arwah sudah menghembuskan nafas terakhir. Itu detik terburuk yang pernah saya rasa,” kongsinya.

Tambah penyanyi lagu Kekasih Bayangan itu, situasi tersebut membuatkan separuh jiwanya ‘pergi’ namun perasaan tersebut beransur hilang.

Dia perlahan-lahan mengalih tumpuan dengan memperuntukkan masa berkualiti bersama ahli keluarga terutama ibunya.

“Kalau dahulu saya abaikan panggilan telefon ibu kerana lebih pentingkan kerja, sekarang dia paling utama kerana di situlah ladang bahagia saya,” katanya.

Cakra berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert A Decade: Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2023 di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.

CAKRA Khan bersama wakil penganjur Konsert A Decade: Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2023.

Konsert anjuran Seven Skies Motion tersebut dijadualkan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 Januari tahun depan.

Pada majlis sama, penghibur berusia 30 tahun itu mengumumkan akan mendedikasikan segmen istimewa sebagai penghargaan atas jasa arwah ayahnya membuka laluan untuk dia menceburi arena seni.

“Banyak perkara yang saya kesali terutama membabitkan momen bersama ayah, tetapi saya tetap bersyukur dia ada dari awal saya menceburi arena nyanyian.

“Ketika kecil ayah yang galakkan saya sertai pertandingan selain gigih menemani ke pelbagai acara. Dia pencetus inspirasi dan pendorong setiap karya saya.

“Allahyarham antara individu utama yang menjadikan saya seorang penyanyi pada hari ini. Jadi konsert itu nanti akan ada tribute untuk ayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI