fbpx

Jokowi yakin Vladimir Putin tidak akan hadir ke persidangan G20 Bali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jokowi (kiri) mempunyai naluri kuat tersebut selepas bercakap dengan Putin (kanan) dalam satu panggilan telefon minggu lalu. – Detik

JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) memaklumkan beliau mempunyai ‘naluri kuat’ untuk menyatakan bahawa rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin tidak akan hadir ke persidangan negara-negara Kumpulan 20 (G20) yang bakal diadakan di Pulau Bali minggu depan, lapor laman berita Kompas semalam. 

Menurut Jokowi, perkara itu dapat dirasai selepas beliau bercakap dengan Putin menerusi panggilan telefon, minggu lalu. 

Jokowi menerusi temu bual bersama akhbar Financial Times berkata, Putin berkemungkinan besar tidak akan hadir ke sidang berkenaan ekoran perbincangan yang akan didominasi oleh isu konflik perang Russia dengan Ukraine. 

Sebelum ini, persidangan yang bakal diadakan pada 15 dan 16 November ini itu turut menolak gesaan Barat dan Ukraine agar tidak mengundang Russia serta melucutkan keanggotaan Moscow dalam G20. 

Pemerintah Indonesia itu berpendapat bahawa adalah tidak wajar untuk sewenang-wenangnya mengambil tindakan sedemikian tanpa mendapat persetujuan daripada kesemua anggota pertubuhan tersebut.

 Jokowi menekankan bahawa Russia tetap dialu-alukan dalam persidangan G20, walaupun kehadiran beliau dibimbangi akan menyebabkan berlakunya peningkatan ketegangan antarabangsa.

“G20 bukan forum politik. 

“Ia adalah forum untuk ekonomi dan pembangunan,” kata Jokowi. 

Selain Putin, Jakarta turut mengundang Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy ke acara itu di mana pemimpin tersebut sebelum ini menegaskan bahawa beliau tidak akan hadir sekiranya Putin turut berada di sana. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI