fbpx

Joe Biden goyah hadapi pilihan raya separa penggal AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYOKONG calon Parti Demokrat bergambar semasa perhimpunan bersama Biden di Maryland kelmarin. - AFP

WASHINGTON – Presiden Joe Biden memberi amaran kelmarin bahawa kemenangan Parti Republikan akan melemahkan institusi demokrasi  dan membatalkan banyak kejayaan yang dicapai Amerika Syarikat (AS) sejak beliau memegang tampuk pemerintahan negara.

“Hari ini (kelmarin) kita berada di persimpangan. Kita sedar  demokrasi kita terancam dan kita sedar bahawa ini adalah masa untuk mempertahankannya,” kata Biden kepada penyokong beliau  ketika berucap di Bowie State University yang merupakan pusat pengajian tinggi untuk penduduk kulit hitam di luar Washington.

Komen Biden mencerminkan jurang politik yang mendalam di AS menjelang pilihan raya umum atau lebih dikenali sebagai pilihan raya separa penggal pada 8 November 2022. 

Pakar-pakar meramalkan pembangkang iaitu Parti Republikan, mampu menawan satu atau kedua-dua dewan Kongres.

Kelmarin mereka meramalkan Parti Republikan berkemungkinan merampas kira-kira 25 kerusi lawan di Dewan Perwakilan yang mempunyai 435 kerusi sekali gus lebih daripada mencukupi untuk kemenangan majoriti. 

Penganalisis-penganalisis berkata, Parti Republikan juga dijangka merampas satu kerusi yang mereka perlukan untuk menguasai Dewan Senat.

Wakil-wakil rakyat Parti Republikan menyalahkan pentadbiran Biden sebagai punca lonjakan harga dan kadar jenayah di AS iaitu dua isu utama yang mendapat perhatian rakyat. 

Seteru Biden, Donald Trump berkunjung  ke Ohio untuk berkempen bersama calon Dewan Senat Parti Republikan, J.D. Vance. Trump berulang kali membayangkan bahawa beliau akan bertanding dalam pilihan raya Presiden AS akan datang pada 2024.

Walaupun Biden menunaikan janji manifestonya untuk mening­katkan infrastruktur dan tenaga bersih negara, ramai rakyat AS kecewa  dengan  kepimpinannya. Keputusan  tinjauan pendapat Reuters/Ipsos yang diterbitkan kelmarin mendapati hanya 39 peratus responden berpuas hati dengan prestasi beliau.

Kelemahan dari sudut populariti menjadikan Biden dilihat  canggung dalam pilihan raya kompetitif tersebut. 

Kelmarin, beliau berucap di negeri Maryland  yang merupakan antara kubu kuat parti pemerintah, Parti Demokrat. Calon parti berkenaan, Wes Moore dijangka merampas kembali kerusi gabenor yang disandang pemimpin Parti Republikan dalam pilihan raya separa penggal kali ini. 

Sekiranya  Parti Republikan menguasai Dewan Perwakilan atau Dewan Senat, ia akan menamatkan usaha Biden untuk melindungi hak pengguguran, cuti keluarga dan inisiatif  lain melalui Kongres. 

Kemenangan Parti Republikan akan memberi lampu hijau kepada beberapa siasatan yang diterajui jawankuasa parti ber­kenaan  yang boleh menjejaskan White House. 

Dewan Senat yang diterajui  oleh Parti Republikan juga boleh menyekat pencalonan Biden untuk jawatan kehakiman atau pentadbiran.

Dalam perkembangan berkaitan, bilionair  Elon Musk yang membeli laman sosial popular, Twitter menyatakan dalam komen beliau kelmarin bahawa pengundi wajar memilih  Kongres yang dikuasai oleh Parti Republikan sebagai usaha untuk mengimbangi kuasa Presiden. 

Sekiranya Parti Republikan mendapat majoriti di Dewan Perwakilan, wakil-wakil rakyatnya merancang  untuk menggunakan siling hutang Persekutuan sebagai senjata untuk menuntut pemotongan perbelanjaan kerajaan. 

Mereka juga dijangka berusaha untuk terus melindungi  potongan  cukai korporat yang gagal dimansuhkan oleh Parti Demokrat sejak dua tahun lalu.

Penguasaan Kongres juga akan memberikan Parti Republikan kuasa untuk menyekat bantuan ketenteraan dan kewangan kepada Ukraine. 

Kepimpinan Parti Republikan bagaimanapun dijangka lebih cenderung untuk memperlahankan ataupun  mengurangkan bantuan senjata  dan ekonomi kepada  Kiev berbanding menghentikannya sama sekali.

Sementara itu, penyokong Trump yang didorong oleh dakwaan beliau bahawa berlaku pemalsuan dalam pilihan raya AS, mengugut dan mengganggu pekerja pilihan raya dan pengundi. 

Susulan itu, Jabatan Kehakiman AS berkata  bahawa pihak­nya akan memantau proses pengundian di 64 lokasi di seluruh negara.

Bagaimanapun, menurut White House, pihak berkuasa tidak melaporkan sebarang ancaman berkaitan pilihan raya separa penggal AS itu setakat kelmarin.

Lebih  43 juta rakyat AS telah pun  membuang undi, sama ada secara hadir terus atau melalui pos, demikian menurut Projek Pilihan Raya AS, yang mengawasi proses pengundian awal. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI