fbpx

Ismail Sabri selayaknya PM ke-10

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri yang juga Calon Barisan Nasional bagi Parlimen Bera P090 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama penduduk paya serai di Dewan PPRT Paya Serai ketika hadir ke Kenduri Rakyat bersama penduduk Kampung Bohor Baru.

Pelancaran pendekatan Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Ogos 2021 me­rakamkan dua perkara penting sebagai terasnya.

Pertama, mengenai kefahaman terkini berkait dengan konsep tiga serangkai perpa­duan yang sudah diterima rasmi oleh kerajaan.

Kedua adalah pendekatan dan konsep Keluarga Malaysia yang telah diterapkan dalam Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025.

Konsep itu telah disediakan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan dilancarkan oleh Ismail Sabri sendiri pada 28 November 2021.

Untuk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, cogan katanya ialah Keluarga Malaysia: Teguh Bersama iaitu selari de­ngan konsep Keluarga Malaysia.

Frasa Keluarga Malaysia dalam cogan kata ini merujuk kepada masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu.

Apa yang dinyatakan dalam ucapan adalah suatu harapan. Dalam beberapa aspek, masih ada cabaran-cabaran yang perlu diuruskan.

“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang mene­rima, mencungkil persamaan
dengan tidak lagi menggali perbezaan,” kata Ismail Sabri dalam ucapannya di Parlimen pada 22 Ogos 2021.

Beliau menimbulkan bahawa Malaysia sarat dengan perbezaan yang mencabar. Namun beliau menyeru supaya kelompok kerajaan dan parti pembangkang di Parlimen mencari persamaan dan tidak menekankan perbezaan, dan perlunya mencari satu titik pertemuan dan membina Tapak Integrasi.

Harapan ini menjadi ke­nyataan apabila suatu Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan parti pembangkang terbesar, iaitu Pakatan Harapan telah ditandatangani pada 13 September 2021, kira-kira sebulan selepas Ismail Sabri diangkat menjadi Perdana Menteri.

Memorandum ini menganjurkan konsep kesepaduan, bersetuju untuk bersetuju dan bersetuju untuk tidak bersetuju, dengan erti kata ia menjadi wahana mencari ruang muafakat, tolak ansur, tawar menawar dan mediasi. Ini adalah satu peristiwa bersejarah dalam politik governans Malaysia sejak Merdeka 1957.

Impaknya boleh dilihat di peringkat politik elit, khusus di Parlimen, de­ngan perdebatan kelihatan lebih waras dan sama-sama berhujah lojik dan seimbang. Malah dalam tempoh kurang daripada setahun (September 2021 ke Julai 2022) tiga Rang Undang-Undang telah diluluskan oleh Parlimen dengan undi majoriti 2/3. Ini pencapaian yang luar biasa.


ISMAIL SABRI (dua dari kanan) berjaya menstabilkan politik negara menerusi Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dengan parti pembangkang.

Selain daripada apa yang berlaku dan dipersetujui di Parlimen, di bawah payung Keluarga Malaysia, beberapa program telah dilaksanakan dan mene­rima sambutan. Kerajaan-kerajaan negeri turut terlibat.

Tiga perkara utama boleh dirumuskan berdasarkan pemerhatian yang dibuat yang mencorakkan kepimpinan beliau dan proses pelaksanaan pendekatan Keluarga Malaysia.

Pertama, dari segi latar belakang politik. Ismail Sabri adalah ahli politik yang berpengalaman, menjadi Ahli Parlimen sejak 2008 sehingga sekarang, menjawat enam jawatan Menteri dalam kementerian yang berbeza, dan pernah dipilih sebagai Ketua Pembangkang (2019-2020).

Apabila beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 9 Julai 2021 ha­nya kira-kira sebulan kemudian, pada 21 Ogos 202, beliau naik menjadi Perdana Menteri.
Ismail Sabri turut mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri ketika Malaysia menghadapi krisis pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan pimpinan elit politik. Keadaan ini menuntut segala kekuatan pengalamannya untuk memegang teraju pimpinan negara.

Kedua, perawakan peribadi beliau cukup sederhana, sabar, pemurah dan rendah diri.
Namun ini bukan kelemahan, se­perti dakwaan setengah pihak, malah inilah senjata senyap beliau yang membawa ketena­ngan kepada lawan.

Kesediaan Ismail Sabri mengamalkan ciri-ciri bertolak ansur, tawar-menawar dan sanggup bermediasi dalam banyak hal bukan hanya de­ngan parti pembangkang bahkan dalam UMNO dan Barisan Nasional merupakan satu keistimewaan sebagai pemimpin dan pentadbir. Beliau utamakan konsensus bukan konflik.

Ketiga, pendekatan Keluar­ga Malaysia adalah diisi dan didukung oleh faktor-faktor luaran dan peribadi tersebut. Konsep Keluarga Malaysia beliau dengan mudah diterap dan diterima dalam Dasar Pembangunan Negara, Blueprint Pembangunan Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Negara dan Indeks Perpaduan Nasional yang sedia ada.

Dengan sendirinya Keluarga Malaysia mempunyai saluran pelaksanaan daripada paras pusat, ke negeri, ke daerah dan ke komuniti akar umbi.

Tiga perkara ini juga akan menjadi landasan terpenting meluncur licin usaha beliau di masa depan nanti, menuju ke arah perlanjutan jawatannya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin FASc adalah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, Penyandang Kursi UNESCO @UKM, Penasihat Perpaduan, Kementerian Perpaduan Negara Malaysia dan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI