fbpx

‘Ingat pengadilan di akhirat lebih tepat, berat’ – Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibrahim selepas prosiding pendakwaan di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – “Kamu bukan muda lagi, saya harap insaf dan tidak buat apa-apa kesalahan lagi.”

Demikian peringatan keras diberikan Hakim Rozilah Salleh sebelum menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap empat pertuduhan pilihan terhadap seorang penulis surat dan urusan tanah, Ibrahim Mahidin, 61 di Mahkamah Sesyen hari ini.

Warga emas itu terdahulu menukar pengakuan kepada bersalah bagi kesemua pertuduhan berkaitan pemindahan milik tanah menerusi surat yang mengandungi cap jari individu yang meninggal dunia antara 2015 dan 2016 .

Mahkamah bagaimanapun membenarkan hukuman itu dijalankan serentak bermula hari ini.

Rozilah dalam penghakimannya menegaskan kesalahan itu adalah serius dengan memalsukan dokumen dan memindah milik tanah orang yang sudah meninggal dunia.

“Harap hukuman ini dapat menginsafkan kamu dan sebagai orang muslim kita akan diadili dengan lebih tepat lagi nanti.

“Sementara hidup, bertaubatlah. Pengadilan di akhirat lebih berat,” jelasnya.

Ibrahim didakwa secara tidak jujur menggunakan empat dokumen sebagai tulen iaitu surat akuan penama, ‘Power of Attorney’, dokumen jual beli, pindah milik dan gadaian Che’ Nah Arshad (yang telah meninggal dunia) dan Mhd. Kaim Tukimon.

Kesalahan itu dilakukan di Unit Pendaftaran Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor pada 2 Disember 2015 dan 24 November 2016.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Tertuduh sebelum ini telah didakwa pada 12 Mei lalu bersama rakannya seorang peniaga, Mhd. Kaim Tukimon, 70 yang telah dijatuhkan penjara sehari dan denda RM40,000 di mahkamah sama.

Peguam Idris Zaidel mewakili tertuduh dalam rayuan memohon hukuman dikurangkan berikutan anak guamnya telah menyesal selain mempunyai penyakit tiga serangkai iaitu jantung, kencing manis dan tekanan darah tinggi.

“Harap hukuman dijalankan serentak dengan anak guam ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan seksual,” katanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Alif Shaharuzaman berharap hukuman sewajarnya memandangkan mahkamah merupakan institusi yang boleh memberikan isyarat dan pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai agar tidak terlibat dalam kesalahan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI