BRASILIA – Juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton diangkat menjadi warganegara kehormat Brazil oleh ahli kongres negara itu semalam.
Pelumba kelahiran Britain itu mendedikasikan penghargaan kepada idolanya iaitu mendiang juara dunia tiga kali (1888, 1990, 1991) dari Brazil, Ayrton Senna.
Senna meninggal dunia dalam kemalangan pada Grand Prix San Marino pada 1994.
Hamilton menerima berita baik tersebut selepas hadir beberapa hari sebelum perlumbaan Grand Prix (GP) Brazil yang berlangsung pada hujung minggu ini.
Hamilton yang memakai sut biru laut, menerima pingat perundangan Brazil, watikah dan memberi ucapan kepada penyokongnya dan memberi penghormatan kepada Senna.
“Saya benar-benar mahu mendedikasikan penghormatan ini kepada Ayrton Senna
“Ketika saya berumur lima tahun, saya melihat Senna berlumba buat kali pertama dan itulah saat saya tahu saya mahu menjadi juara dunia seperti dia.
“Apapun, ketika ini saya rasa seperti seorang daripada anda sekarang.
“Saya memiliki banyak kenangan hebat di Brazil, terutama sekali 2021. Saya sedar, ramai bersorak ketika mengecapi antara detik paling indah dalam hidup,” kata Hamilton.
Hamilton menggembirakan rakyat Brazil apabila mengibar bendera negara itu pada jentera Mercedes sejurus memenangi perlumbaan di litar Interlagos di Sao Paulo, tahun lalu dan membawa bendera naik ke podium.
Pada Jun lalu, Kongres meluluskan untuk mengiktiraf pemandu berusia 37 tahun itu sebagai warganegara kehormat seperti dicadangkan ahli Kongres, Andre Figueiredo selepas pemandu Britain itu menang GP Brazil 2021 iaitu kemenangan ketiga baginya.
Hamilton sah bergelar juara dunia kali pertama di Interlagos pada 2008 dengan menewaskan pemandu Ferrari kegemaran tempatan, Felipe Massa dengan memintasnya di selekoh terakhir di pusingan terakhir pada perlumbaan terakhir musim itu. – AGENSI