fbpx

Dua bot kenka tidak diusahakan pemilik ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedua-dua bot yang ditahan APMM di perairan Kuala Kurau, Bagan Serai semalam tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya.

BAGAN SERAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau menahan dua buah bot kenka kerana melanggar syarat lesen pengoperasiannya di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, kedua-dua bot itu ditahan di kedudukan 6.3 dan 6.2 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau kira-kira pukul 11.20 pagi.

Beliau berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kuala Kurau, pasukan bot peronda APMM telah mengesan bot terbabit dalam keadaan mencurigakan dan ia dirapati untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemui dua orang kru termasuk tekong di bot pertama dan seorang kru di bot kedua. Kesemua mereka adalah warga tempatan berusia lingkungan 52 hingga 59 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, kedua-dua bot terbabit mempunyai lesen yang sah dan beroperasi berpasangan seperti mana yang telah dilesenkan namun pemilik tidak mengusahakannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Najhan berkata, sebanyak 80 kilogram ikan baja turut ditemui semasa pemeriksaan dilakukan.

Katanya, kesemua nelayan, bot, hasil ikan baja dan peralatan menangkap ikan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu pemilik bot melanggar syarat lesen kerana tidak mengusahakan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, bermula pada awal Januari lalu sehingga kini, sebanyak 14 tangkapan melibatkan bot pukat kenka telah berjaya dilakukan dan sejumlah RM 23,500 nilai kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik atas kesalahan yang dilakukan.

“APMM sentiasa komited dalam menguatkuasakan undang-undang di laut demi kesejahteraan dan keselamatan komuniti maritim keseluruhannya.

“Sebarang aduan dan kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkannya ke MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 untuk tindakan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI