fbpx

Dialek Sabah sekat sayap ISOBAHTOS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS bersama DefJam Malaysia, ISOBAHTOS atau IsoB dengan penuh semangat menyatakan kesediaan untuk memulakan hidup di ibu kota demi mengukuhkan karier muzik mereka.

KEHADIRAN sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri sebagai ISOBAHTOS mungkin masih belum cukup dikenali peminat muzik tempatan secara keseluruhannya.

Faktor bahasa dan fokus mereka yang hanya tertumpu di negeri kelahiran iaitu Sabah menjadi penyebab nama kumpulan itu masih asing dalam kalangan peminat.

Akui ISOBAHTOS atau IsoB yang dianggotai seramai 10 ahli, keputusan mereka yang terlalu menekankan bahasa dan dialek Sabah dalam lagu menjadi ‘punca’ tidak dikenali umum.

“Ini bukan satu kesilapan tetapi kami terlalu tekankan bahasa dan dialek Sabah yang adakalanya sukar difahami orang luar.

“Jadi misi kami sekarang adalah untuk meluaskan penggunaan bahasa supaya mudah difahami semua orang.

“Selama ini, bahasa menjadi kekangan kami dikenali,” kata Mohd. Azizan Danial Abdullah atau AD.

Selain AD, IsoB turut dianggotai Diji Panis (D&G), Jay Adner James (ghidd), Ian Jouse Jaideh (IAN J.) dan Oliver Ordine (Ihberrrr).

Empat lagi anggotanya ialah Ramziwazizi (RamziAli), Quenner Mitchell Pauzi (Quenner M.), Roysten Habirin Lapongan (RODB), Jesper Evans Dumali (RYT) dan Carey Chin Zao Yuan (YERAC).

SINGLE Kados menjadi penanda aras keseriusan kumpulan dianggotai 10 ahli ini dalam memperjuangkan jalur muzik mereka.

Perbandingan

Bukan hanya faktor bahasa, kemunculan angkatan anak muda dari Negeri Di Bawah Bayu juga memungkinkan timbulnya perbandingan dengan kumpulan K-Clique.

Menjawab perkara tersebut, AD berkata, IsoB memiliki keistimewaan tersendiri yang menjadi identiti dan jati diri mereka.

“Rata-rata ahli kami semuanya datang daripada kumpulan tarian. Ada hip-hop dan moden. Tak kisah kalau ada yang nak cakap kami K-pop pun (ketawa).

“Apa yang penting, kami memiliki kelebihan boleh buat persembahan yang lengkap dari segi muzik dan tarian. Itulah yang kami tawarkan untuk industri,” kata AD lagi.

Selepas lebih setahun memulakan debut, IsoB kini sudah jelas tentang hala tuju muzik mereka dalam industri apabila melancarkan single terbaharu, Kados.

Jelas kumpulan itu lagi, jika sebelum ini, lagu-lagu mereka lebih bersifat santai dan menyeronokkan, tetapi sekarang, haluan sudah berubah apabila berjaya menghasilkan sebuah karya yang ‘serius’.

“Sisi itu jugalah yang kami tunjukkan dalam video muzik Kados. Sewaktu pandemik, timbul rasa untuk tidak berbuat apa-apa dan berhenti hasilkan karya.

“Tetapi lagu ini ada kelebihan dan beri sinar baharu untuk perjalanan karier ISOBAHTOS. Secara asasnya, kisah lagu Kados menceritakan perjalanan hidup kami.
“Baik buruk, untung rugi, semuanya bergantung pada diri sendiri. Diri sendiri yang tentukan untuk jadi apa pada hari ini, esok, lusa dan hari-hari mendatang,” kata AD penuh makna

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI