fbpx

Cuepacs cadang parti politik buat manifesto gaji minimum RM1,800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan berucap pada Majlis Pelancaran Program Takaful Khas untuk Anggota Polis dan Penguat kuasa Bersenjata, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan agar kenaikan gaji minimum kepada RM1,800 dijadikan sebagai manifesto parti politik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, bagaimanapun, tiada lagi mana-mana pihak atau parti yang menyahut perkara itu.

Jelasnya, Cuepacs sentiasa memperjuangkan hak-hak penjawat awam khususnya kenaikan gaji ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Apa yang penting kami nak gaji penjawat awam ditingkatkan kerana jumlah yang diterima tidak selesa. Tidak selesa untuk beli rumah, kereta, makanan, penjagaan kesihatan dan pelajaran.

“Lima elemen utama ini hendaklah ada dalam gaji tersebut walaupun kerajaan sekarang letakkan RM1,200,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Program Takaful Kemalangan Diri di Hotel Seri Pacific, di sini hari ini.

Namun, Adnan berkata, pihaknya tetap menyambut baik pelbagai insentif yang diberikan kerajaan sebelum ini termasuk pemberian bantuan sebanyak RM700 dan RM600 dalam bentuk bantuan khas Aidilfitri.

“Semalam pun kita mendapati banyak cadangan-cadangan daripada gagasan ataupun ahli politik di luar sana.

“Mereka nak bagi macam-macam pada penjawat awam dan kita sambut baik semua itu, cuma jangan lepas itu tak laksana pula,” ujarnya.

Terdahulu, Kementerian Sumber Manusia telah mengumumkan gaji minimum RM1,500 akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei ini.

Bagaimanapun, majikan yang terlibat dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) diberi kelonggaran untuk menangguhkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 sehingga 31 Disember ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI