PETALING JAYA – Amaran ribut petir dikeluarkan pada petang ini melibatkan 11 negeri sehingga pukul 9 malam.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi kenyataan di Facebook mengeluarkan ramalan hujan lebat bersama ribut petir bagi beberapa daerah di negeri Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda di keseluruhan negeri Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka serta beberapa daerah di Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian dan Kulai).
“Cuaca buruk yang sama juga melibatkan Kedah di Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu manakala Pahang di daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera,” katanya.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir bagi beberapa kawasan di Sarawak antaranya Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
“Ribut petir dan hujan lebat juga bakal melanda Sabah iaitu di Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran). – KOSMO! ONLINE