fbpx

Zamani masih di ICU, doktor pantau 48 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUAT masa ini, difahamkan Zamani masih belum stabil sepenuhnya selepas selesai menjalani pembedahan membetulkan tulang belakangnya semalam.

PETALING JAYA – Penyanyi Zamani Slam yang menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis semalam masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan selama 48 jam.

Perkara tersebut dikongsikan pengacara, Datuk Aznil Nawawi yang berhubung dengan isteri vokalis itu, Juliana Abdul Rani bagi mendapatkan perkembangan terkini Zamani selepas hampir tujuh jam di dewan bedah.

Akui Aznil atau selesa disapa Pak Nil, dia difahamkan keadaan Zamani belum stabil sepenuhnya dan perlu berada bawah pemerhatian pakar sebelum boleh dipindahkan ke wad biasa.

Selebriti serba boleh itu memaklumkan turut menziarahi penyanyi itu di hospital, namun tidak dapat bertemu Zamani, 51, yang baru selesai menjalani pembedahan.

“Seperti peminat lain, Pak Nil pun runsingkan keadaannya selepas kita maklum mengenai pembedahan dilaluinya semalam.

“Pak Nil turut ke hospital tempat dia menjalani rawatan tetapi rupa-rupanya Zamani baru saja keluar dari dewan bedah.

“Tak mahu mengganggu keadaan Zamani dan keluarganya, jadi Pak Nil cuma tinggalkan pesanan kepada isterinya,” katanya.

Pada masa sama, Aznil berharap orang ramai tidak putus berdoa untuk kesihatan dan kesembuhan penyanyi itu.

Selepas tiga tahun menghidap penyakit skoliosis, vokalis Slam itu selamat menjalani pembedahan yang bermula sekitar pukul 8 pagi semalam.

Dianggarkan proses pemulihan mengambil masa antara dua hingga enam minggu, namun dia memerlukan tempoh tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum boleh aktif menyanyi semula.

Aznil adalah individu yang menggerakkan usaha mencari dana membantu membiayai kos pembedahan Zamani yang mengumpul lebih RM100,000 hasil sumbangan orang ramai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI