SEPANG – Taikun kosmetik Datuk Seri Vida berkata, beliau akan lebih berhati-hati dalam menghasilkan klip video pada masa akan datang.
Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 51, berkata, tindakan berhati-hati itu penting supaya tidak melakukan kesalahan berulang sehingga mengundang tindakan undang-undang.
“Kalau sudah tahu apa kesalahan yang dilakukan, kita kena tahu dengan lebih jelas agar kesalahan sama tidak berulang. Saya akan saya lebih berhati-hati,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Dalam pada itu, Vida turut memberitahu dia terkejut menerima saman dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Hari itu (Mei) ada dipanggil memberi keterangan pasal video muah-muah raya…jadi saya tidak sangka sebesar ini (dakwa) saya tiada promote (promosi)..jadi saya maklum pada peguam untuk hadir ke mahkamah,” katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Adnan Seman yang mewakili Vida memaklumkan akan meneliti pertuduhan selain tindakan susulan sama ada untuk memfailkan representasi atau tidak terhadap pertuduhan tersebut.
Terdahulu Vida mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membuat hantaran komunikasi bersifat sumbang dalam satu video muzik ‘muah-muah raya’ April lalu.
Vida selaku OKS membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, OKS didakwa dengan menggunakan aplikasi akaun YouTube ‘DSV Entertaiment’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang sumbang sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Hantaran itu didakwa dilakukan pada 29 April lalu yang kemudian telah dilihat pukul 11.06 pagi pada 5 Mei lalu di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM), Cyberjaya.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Fazril Sani Mohamed Fadzil mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Vida yang diwakili peguam, Datuk Adnan Seman merayu agar jumlah itu dikurangkan kepada RM2,000 kerana ini merupakan kali pertama anak guamnya dituduh di mahkamah.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Ahmad Fuad membenarkan Vida diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Disember depan untuk serahan dokumen.
Sebelum ini, konsep video muzik yang diketengahkan usahawan itu dikritik netizen selepas ia dianggap seolah-olah tidak menghormati Aidilfitri apabila ia kelihatan seperti menampilkan unsur ‘drag queen’.- KOSMO! ONLINE