fbpx

Tiket konsert dua hari New Boyz ‘licin’ dijual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN menghilang selama hampir 20 tahun, namun sokongan daripada peminat terhadap New Boyz tetap utuh apabila tiket konsert kumpulan itu laris dijual.

PETALING JAYA – “Alhamdulillah ya Allah. Saya sangat terharu dengan sokongan daripada semua peminat. Dalam masa 24 jam, 1,500 tiket untuk dua hari habis dijual.”

Itu luahan penyanyi Tomok apabila tiket konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang habis terjual dalam masa 24 jam selepas dibuka kepada orang ramai sejak pukul 10 pagi semalam.

Tomok atau nama lengkapnya Shah Indrawan Ismail ketika dihubungi Kosmo! Online mengakui terkejut dan tidak percaya dengan sokongan peminat apabila berebut-rebut membeli tiket konsert New Boyz meskipun hampir 20 tahun mereka hilang dari radar dunia hiburan.

“Perasaan saya sangat terharu. Seakan tidak percaya. Terima kasih kepada peminat kerana masih ada menyokong perjalanan New Boyz.

“Saya sangat berbangga kerana tiket konsert New Boyz selama dua hari habis dijual dalam masa 24 jam,” katanya.

Penyanyi berusia 38 tahun itu mengakui pada awalnya dia berasa sedikit bimbang dan gusar jika tiket tidak laku memandangkan banyak konsert penyanyi lain termasuk artis dari luar negara sedang membanjiri jadual persembahan di Malaysia.

“Sejujurnya saya bimbang juga takut kalau-kalau tiket tidak laku. Industri muzik negara baru sahaja hendak pulih selepas pandemik Covid-19. Banyak juga konsert penyanyi lain yang menunggu giliran.

“Tapi alhamdulillah, masih ada lagi peminat yang menyokong New Boyz apabila kami mengumumkan bakal mengadakan konsert,” katanya.

Justeru, Tomok dalam perancangan menambah sehari lagi tarikh persembahan bagi memenuhi permintaan peminat yang gagal mendapatkan tiket konsert tersebut.

“Ada peminat mencadangkan supaya kami menambah satu hari lagi menjadi tiga hari. Insya-Allah kami dalam perancangan,” katanya.

Ketika disoal tentang persiapan menjelang hari konsert, Tomok berkata, dia bersama ahli kumpulannya kini sedang giat menjalani latihan yang telah bermula sejak tiga bulan lalu.

“Kami sudah pun memulakan latihan sejak tiga bulan lalu. Insya-Allah pada konsert nanti New Boyz akan mendendangkan sekitar 20 buah lagu,” katanya.

Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang yang dianjurkan sendiri oleh Tomok akan diadakan di Theatre PJ PAC, Bandar Utama pada 10 dan 11 Februari 2023.

Kumpulan yang pernah mencipta fenomena dan menjadi kegilaan peminat remaja itu ditubuhkan pada tahun 1999 dan bergiat aktif sehingga tahun 2007.

Antara lagu popular new Boyz yang menjadi siulan peminat sehingga kini ialah Sejarah Mungkin Berulang, Meraung, Marah Bukan Sifatku dan Hiasan Di Laman Rindu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI