AKTRES Jaya Bachchan sangat menyayangi setiap ahli keluarganya, namun dalam insiden terbaharu dia dikecam apabila meluahkan pandangan bahawa tidak salah jika cucunya, Navya Naveli memiliki anak luar nikah.
Ucapan yang dikongsi bintang Kabhi Khushi Kabhie Gham dalam podcast gadis tersebut mencetuskan rasa kurang disenangi netizen yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai contoh tidak baik kepada generasi muda.
Terdahulu, menerusi sesi tersebut Navya menyatakan keluarga Bachchan berfikiran terbuka terutama ibunya, Shweta Bachchan dan neneknya, Jaya Bachchan.
Menurut wanita berusia 74 tahun itu, gadis muda harus mengahwini teman baik mereka selain menyatakan dia tiada masalah andai cucunya itu memilih untuk memiliki anak walau tidak berkahwin.
Menerusi perkongsian sama, Jaya secara terbuka turut menyentuh mengenai hubungan asmara sebagai pemanas perhubungan supaya kekal hangat.
Keterbukaan pelakon yang sudah beralih menjadi ahli politik itu tidak disenangi masyarakat yang rata-rata menganggap isu berkenaan sebagai kurang manis.