PETALING JAYA – Tular di media sosial apabila ramai yang ingin berkongsi kereta balik mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Dalam satu ciapan oleh @tattyhassan, dia membuat satu untaian bagi memudahkan orang ramai untuk mencari sesiapa yang ingin berkongsi kereta balik mengundi.
Namun, @tattyhassan turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum bersetuju untuk berkongsi kereta dengan orang yang tidak dikenali.
“Berhati-hati dan teliti dahulu sebelum setuju untuk berkongsi kereta dengan orang kita jumpa di atas talian,” ciap @tattyhassan.
Rata-rata di ruangan komen, ramai yang mempelawa jika sesiapa ingin berkongsi kereta pulang ke Kelantan, Kedah, Perak, dan negeri-negeri lain dalam untaian tersebut.
Sehingga kini, ciapan tersebut telah mendapat 1,522 perkongsian, dan 1,371 tanda suka.
Sementara itu, sebuah inisiatif oleh @CarpoolGE15, turut memudahkan orang ramai untuk berkongsi kereta untuk pulang mengundi.
Dengan menggunakan #CarpoolGE15, orang ramai boleh sertai grup Telegram bagi mendapatkan info semasa tentang berkongsi kereta untuk balik membuang undi nanti.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tiket bas dan kapal terbang laris dijual apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting untuk PRU15. – KOSMO! ONLINE