VALENCIA – Meskipun gagal mempertahankan gelaran juara dunia MotoGP musim lalu, Fabio Quartararo mengakui tidak kecewa selepas memberikan segala-galanya pada perlumbaan terakhir di Grand Prix (GP) Valencia kelmarin.
Pelumba dari Perancis itu bermula dengan baik pada awal perlumbaan dan memberi tentangan hebat kepada pelumba Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia hingga berlaku pelanggaran menyebabkan winglet seterunya itu tercabut.
Meskipun Bagnaia sekadar mengakhiri saingan tempat kesembilan, namun kedudukan tersebut sudah cukup buat pelumba Itali itu untuk mengekalkan kelebihan dalam kedudukan keseluruhan.
Pelumba Monster Energy Yamaha itu yang memerlukan kemenangan bagi mengatasi Pecco, sekadar menamatkan perlumbaan di tangga keempat dalam perlumbaan yang dimenangi pelumba Suzuki, Alex Rins.
“Saya tidak kecewa kerana saya telah memberikan 100 peratus hari ini dan apabila anda kehilangan gelaran seperti itu pada akhirnya, anda perlu sentiasa mencari perkara positif, walaupun sekarang 99 peratus adalah negatif.
“Satu peratus perkara positif adalah empat bulan akan datang dan saya akan turun pada perlumbaan pertama bagi musim 2023.
“Saya akan berlatih bersungguh-sungguh, mempersiapkan diri dengan lebih baik dan berjuang lebih keras pada 2023 nanti. Itu adalah misi saya ketika ini.
“Perlumbaan juga sudah selesai, kita perlu tutup buku itu dan buka buku baharu. Jadi, saya sangat tidak sabar untuk melakukannya pada sesi ujian jentera 2023 nanti,” kata juara dunia musim lalu itu.
Kesemua pelumba MotoGP, akan melakukan sesi ujian pramusim 2023 yang berlangsung hari ini di Valencia sekali gus beberapa pelumba baharu akan turun menguji jentera mereka.
– AGENSI