KLANG – Kempen ziarah #Doktor Rakyat dilaksanakan Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Klang, Dr. P. Jaya Chandran merupakan satu wadah baharu dalam menyantuni para pengundi secara efektif selain memeriksa tahap kesihatan mereka.
Jaya Chandran,47, berkata, ini memberikan peluang untuk berinteraksi secara eksklusif seterusnya memiliki hubungan lebih kukuh kepada sebuah keluarga dilawatinya.
Katanya, pendekatan itu dipilih memandangkan kepakarannya sebagai doktor perubatan yang telah mengamalkan konsep khidmat panggilan doktor ke rumah sejak 2016 dan telah melakukannya hampir 3,000 rumah di sekitar Selangor.
“Bagi kempen ini saya memperuntukkan sembilan buah rumah pengundi sehari dengan kebanyakan pesakit adalah warga emas yang mempunyai penyakit seperti angin ahmar, demam atau uzur.
“Selain itu, saringan kesihatan antaranya darah tinggi, sakit jantung, merawat serta mencuci luka khususnya bagi pesakit yang terlantar. Ini tanggungjawab saya dalam memastikan kesihatan para pengundi di Parlimen tempat saya dicalonkan selain satu dimensi baharu dalam sistem perkhidmatan sosial,” katanya selepas sesi kempen tersebut di Pandamaran hari ini.
Beliau yang telah menetap 15 tahun di Klang menjelaskan maklum balas diterima amat positif dengan menyatakan sekiranya dipilih mampu menjadikan program sebegini bukan sahaja di Parlimen ini malah seluruh negara, amnya.
Jaya Chandran menegaskan kempen begini juga adalah tunjang kesembilan iaitu membina warga emas yang sejahtera dalam manifesto PN Best yang diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
“Manifesto PN itu memang boleh dilaksanakan dengan setiap hospital kerajaan perlu mewujudkan unit ziarah pesakit.
“Ini seterusnya dapat mengurangkan beban masyarakat termasuk perlu mengeluarkan wang untuk menyewa ambulans swasta contohnya selain mengurangkan kebimbangan mengenai produktiviti mereka menurun seperti mengambil cuti,” ujar anak kelahiran Ijok, Kuala Selangor itu.-KOSMO!ONLINE