KUALA NERANG – Manifesto Barisan Nasional (BN) tidak menjanjikan bulan dan bintang, sebaliknya ia mengambil kira kemampuan kewangan dan urus tadbir negara.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, manifesto itu juga dirangka dengan pendekatan realistik dan praktikal untuk dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kita mengambil sikap bahawa apa yang hendak dipersembahkan kepada rakyat itu adalah secara menyeluruh dan tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang.
“Pakatan Harapan (PH) pada 2018, bawa manifesto bulan bintang kepada rakyat dan sekarang mereka mahu ulang semula bulan itu kerana bintang sudah tiada.
“Sekarang mereka hendak bawa turun sikit kepada awan tetapi orang memang tidak mahu. Mereka sudah berjanji dengan rakyat tetapi tidak boleh laksanakan, jadi sebab itu BN pergi ke arah yang praktikal dan tidak perlu merepek,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pekebun Kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Makmur Daerah Padang Terap di Kampung Baru Padang Sanai di sini hari ini.
Mengulas mengenai manifesto Perikatan Nasional (PN) berkaitan harga lantai getah, Mahdzir berkata, agenda untuk menetapkan harga lantai getah sudah lama dibawa BN.
Namun katanya, terdapat parti politik lain yang turut mahu membawa perkara yang sama.
“Rancangan ini sudah beberapa kali dibawa tetapi Parlimen dibubarkan pula, jadi selepas ini kalau diizinkan Allah BN dapat membentuk kerajaan kita akan teruskan mencari formula untuk harga lantai getah,” ujarnya.
Tambahnya, BN akan secara berterusan membincangkan isu harga lantai getah yang sesuai dengan keadaan semasa bagi membantu pekebun kecil keluar dari garis kemiskinan.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, selain harga getah, pihaknya turut akan membincangkan bantuan musim tengkujuh kepada penoreh yang terkesan dengan cuaca tidak menentu.
“Kita telah bincang dua perkara itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang.
“Bagi jangka masa pendek, dalam bajet tahun depan, kita mahu beri bantuan musim tengkujuh kepada semua pekebun kecil yang ada kebun getah untuk empat bulan membabitkan nilai RM800 berbanding sebelum ini selama dua bulan dengan nilai RM200.
“Bagi jangka masa panjang pula, satu jawatan kuasa ditubuhkan antara RISDA dan Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi untuk mencari formula harga lantai getah yang perlu diletak pada harga lebih tinggi berbanding sekarang,” katanya. – KOSMO! ONLINE