MELAKA – Pertukaran kerusi tradisi MCA dari Parlimen Alor Gajah ke Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak dibuat secara semberono, kata Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan dengan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dan Alor Gajah, Badan Perhubungan UMNO negeri, komponen MCA dan MIC sebelum ia dimuktamadkan di peringkat kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).
Tegasnya, pertukaran dibuat selepas menilai komposisi kaum di kedua-dua kerusi tiada perbezaan, selain perkara itu sudah lama dibincangkan sebelum pembubaran Parlimen lagi.
“Memang kita sudah bincang lama pertukaran dua kerusi ini antara MCA dan UMNO, kalau kita melakukan sesuatu percaturan secara lebih teratur, banyak perkara dapat kita nilai apabila memilih dua calon ini.
“Saya kenal emak Shahril Sufian Hamdan, begitu juga datuknya berasal dari Jasin iaitu kampung saya juga, jadi saya tahu keluarga dia mempunyai satu latar belakang, orang yang mempunyai hubung kait dengan Melaka,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni pengundi bersama Shahril dan Ban Hong di Pasar Malam Kampung Lereh, Tangga Batu di sini, malam tadi.
Tambahnya, bagi calon di Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong adalah anak tempatan yang sememangnya dikenali penduduk kerana telah berkhidmat begitu lama sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Shahril dilihat mampu diterima masyarakat di Alor Gajah berdasarkan latar belakangnya sebagai pemimpin muda yang progresif, dinamik, petah bercakap dan mempunyai pendidikan tinggi. – KOSMO! ONLINE