KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak pernah menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah penduduk di Kampung Baru meskipun parti berkenaan telah memerintah negara selama 61 tahun.
Sebaliknya, calon BN Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sekiranya kerajaan mengambil tanah sekali pun, ia hanya digunakan untuk pembinaan infrastruktur seperti stesen transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT).
Katanya, isu membelenggu kawasan itu berlaku selepas BN tewas pada 2018 dan wakil rakyat sebelum ini, Datuk Seri Rina Harun tidak bertindak sewajarnya dalam mempertahankan hak penghuni di sana.
Menurutnya, Khalid Abdul Samad ketika menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan juga gagal memastikan persetujuan semua penghuni dicapai terlebih dulu sebelum kawasan itu dibenar untuk diserahkan kepada pemaju bagi tujuan pembangunan.
“Masa itu Rina jadi wakil rakyat dan Khalid Samad ialah Menteri Wilayah Persekutuan. Sepatutnya dia jangan suruh pemaju pindahkan orang dulu. Pastikan semua sudah bersetuju.
“Akta ini bukan zaman saya, bukan BN tetapi kerajaan (terdahulu) ketika BN kalah. BN tak pernah ambil tanah Kampung Baru dan gunakan Akta Pengambilan Tanah.
“Sebab itu kita memerintah 61 tahun, tak pernah ambil tanah untuk lot-lot ini. Cuma ambil pun untuk buat stesen LRT dan MRT,” katanya ditemui ketika berkempen hari ini.
Katanya, akta terbabit bukanlah ketika zaman BN memandangkan parti itu tidak pernah mengambil mana-mana lot tanah.
“Sebanyak 11 peratus penduduk tidak mahu tandatangan untuk perpindahan yang mana pihak pemaju yang sudah dapat persetujuan lebih 80 peratus penduduk yang lain.
“Jadi, mereka mahu gunakan Akta Pengambilan Tanah,” tegasnya.
Katanya, beliau sendiri pada 2017 turut membantah cadangan pemaju untuk membangunkan semula kawasan itu jika tiada persetujuan semua penghuninya.
“Dakwaan Abdul Khalid bahawa BN tidak melakukan apa-apa usaha untuk membantu dan menyelesaikan masalah penghuni tidak benar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE