PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – Divisyen populasi PBB menganggarkan bahawa bilangan manusia di Bumi akan bertambah kepada lapan bilion orang pada 15 November ini, meningkat lebih tiga kali ganda berbanding populasi 2.5 bilion dalam tahun 1950.
“Bagaimanapun, selepas mencapai kemuncak pada awal tahun 1960-an, kadar pertumbuhan populasi dunia menurun secara dramatik,” kata Rachel Snow selaku ketua Cawangan Populasi dan Pembangunan Dana Populasi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) kepada agensi berita AFP.
Pertumbuhan tahunan populasi susut daripada 2.1 peratus antara 1962 hingga 1965 kepada kurang 1 peratus dalam tahun 2020.
Angka itu berpotensi menurun kepada sekitar 0.5 peratus menjelang 2050 akibat penurunan dalam kadar kelahiran secara berterusan, demikian menurut unjuran UNFPA.
Berdasarkan peningkatan jangka hayat di samping bilangan penduduk dalam lingkungan usia reproduksi, UNFPA menjangkakan populasi dunia akan terus meningkat kepada 8.5 bilion pada 2030, 9.7 bilion dalam tahun 2050 dan memuncak kepada sekitar 10.4 bilion sepanjang tahun 2080-an.
Dalam tahun 2021, kadar kesuburan purata adalah 2.3 kanak-kanak bagi setiap wanita, menurun daripada lima anak pada 1950. PBB menjuangkakan angka itu akan terus merosot kepada 2.1 menjelang 2050.
“Kita sampai pada satu peringkat di mana majoriti negara dan penduduk dunia tinggal di negara yang mencatat kesuburan di bawah kadar reproduksi gantian atau sekitar 2.1 anak bagi setiap wanita,” kata Snow.
Beliau berkata, faktor utama yang mendorong kepada pertumbuhan populasi adalah peningkatan jangka hayat terus iaitu 72.8 tahun pada 2019, meningkat sembilan tahun berbanding 1990, manakala UNFPA meramalkan purata jangka hayat akan bertambah kepada 77.2 tahun menjelang 2050.
Lebih separuh pertumbuhan populasi dunia menjelang 2050 akan berlaku di lapan negara iaitu Republik Demokratik Congo, Mesir, India, Nigeria, Pakistan, Filipina dan Tanzania. – AFP