WASHINGTON – Seorang lelaki di negeri Ohio, berdepan pertuduhan jenayah kebencian kerana menumbuk seorang pelajar kolej berketurunan Asia-Amerika dan mengancam untuk membunuhnya dalam kejadian pada 2021, lapor akhbar New York Post
Defendan, Darrin Johnson menuduh mangsa menyebarkan wabak Covid-19 di Amerika Syarikat.
Johnson, 26, didakwa di sebuah mahkamah persekutuan pada Khamis lalu berhubung serangan yang berlaku di kampus Universiti Cincinnati itu pada 17 Ogos 2021, beberapa hari sebelum kuliah bermula.
Dia didakwa mendekati pelajar berkenaan di Calhoun Street dan memaki-hamun mangsa, kata pejabat pendakwa raya daerah selatan Ohio dalam satu kenyataan.
“Pulang ke negara kamu. Kamu membawa Covid-19 ke sini. Kamu akan mati kerana itu,” Johnson dilaporkan berkata.
Dia kemudian melakukan provokasi kerana mahu bergaduh dengan mangsa, lapor stesen penyiaran CNN.
Mangsa enggan melayan konfrontasi itu, namun Johnson menumbuk kepalanya, jelas kertas pendakwaan.
“Kekuatan tumbukan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan kepalanya terhantuk pada but kereta di bahu jalan,” kata pendakwa raya.
Mangsa mengalami gegaran dan luka di samping beberapa kecederaan lain. Dua orang yang menyaksikan kejadian itu menahan Johnson sehingga polis tiba.
Johnson dijatuhi hukuman penjara 360 hari pada Oktober tahun lalu selepas mengaku bersalah atas serangan salah laku dan ugutan jenayah.
Jika disabitkan dengan jenayah kebencian di mahkamah persekutuan, Johnson boleh dipenjara sehingga 10 tahun. – Agensi