MELAKA – Polis negeri membuka satu kertas siasatan berkaitan jenayah khianat mencabut bendera parti pada hari ketiga tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kes tersebut membabitkan kejadian di dalam daerah Melaka Tengah.
Katanya, bagaimanapun setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Selama tiga hari tempoh kempen PRU15 berlansung, satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan jenayah khianat apabila ada pihak dipercayai mencabut bendera parti dan mencampakkannya di atas jalan raya.
“Namun, setakat ini kita masih belum membuat sebarang tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau memberitahu, sejak 5 November lalu sehingga semalam, kontinjen negeri telah menerima dan meluluskan sebanyak 46 aktiviti ceramah untuk diadakan di seluruh Melaka.
“Semua parti politik yang ingin mengadakan ceramah dinasihatkan untuk mengemukakan permohonan permit ceramah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di daerah masing-masing.
“Pihak polis akan membantu memudahkan urusan permohonan tersebut, namun ia perlu mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard ditetapkan merujuk kepada Subseksyen 24B(3) Akta 5,” katanya.