PETALING JAYA – Sepasang suami isteri menderita seteleh membuat pinjaman gara-gara ingin melunaskan impian ibu bapa untuk membuat majlis perkahwinan mewah.
Dalam satu luahan yang dibuat kepada @ConfessTweetMY, wanita itu berkata, rumahtangga yang dibina selama enam bulan tidak bahagia, malah menyeksakan kerana perlu bekerja keras untuk membayar hutang tersebut.
“Sepanjang enam bulan berkahwin, saya lebih banyak menangis daripada gembira. Dulu kami ingin buat majlis secara kecil-kecilan sahaja, tetapi ibu bapa tetap ingin buat majlis mewah di sebuah hotel.
“Mereka meminta tunang (pada ketika itu) untuk membuat pinjaman sebanyak RM40,000 bagi melunaskan hasrat mereka. Tetapi sehingga kini, kami berdua menderita untuk bekerja keras,” kata wanita itu.
Tambah si isteri, suaminya yang bekerja sebagai kerani turut membuat kerja separuh masa sebagai penghantar makanan dan dirinya bekerja sebagai pekerja kontrak kerajaan juga berniaga kecil-kecilan namun masih tidak mampu menampung hutang yang banyak itu.
Lebih menyedihkan apabila suaminya yang dahulu ceria kini hanya tidur selepas pulang ke rumah kerana penat bekerja seharian untuk membayar hutang yang tidak berkesudahan.
Sehingga kini, ciapan tersebut telah mendapat 1,740 perkongsian dan 2,134 tanda suka.
Tinjauan Kosmo! diruangan komen mendapati orang ramai sedih dan mengkritik tindakan ibu bapa suami isteri tersebut yang inginkan majlis mewah melebihi kemampuan anak mereka sendiri.
“Disebabkan ingin mengikut kehendak mak ayah, anak menantu terpaksa menanggung hutang. Sedihnya baca luahan ini,” kata @fyqass.
Rata-rata komen turut mendoakan bagi pasangan berkenaan untuk tidak berputus asa dan dipermudahkan segala urusan untuk menghadapi dugaan tersebut. – KOSMO! ONLINE