PETALING JAYA – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan membuat penilaian lebih mendalam terhadap permohonan dana yang diterima bagi mengelak berlakunya sebarang penyelewengan.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, pihaknya mengambil serius dakwaan serta aduan yang diterima sebelum ini dan mahu memastikan setiap permohonan dana dilakukan melalui tiga peringkat proses yang ketat.
“Desas-desus banyak di luar, tetapi ada juga yang jumpa saya dan menyuarakan hal ini. Bagaimanapun, setiap dakwaan itu perlu mempunyai bukti dan sekiranya bukti sudah diperoleh, baru laporan polis boleh dibuat.
“Malah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini juga ada menjalankan siasatan, tetapi masih lagi dalam proses,” katanya ketika ditemui semasa melawat Ibu Pejabat Media Mulia di sini semalam.
Md. Nasir berkata, ketika ini Finas melaksanakan proses yang agak ketat bagi permohonan dana yang mana latar belakang syarikat akan disemak melalui sistem khas.
“Sistem ini akan menapis permohonan berdasarkan kepada maklumat yang dimasukkan semasa membuat permohonan. Setiap maklumat yang dimasukkan ada nilai serta markahnya selain syarikat perlu memenuhi tiga kriteria utama.
“Tahun ini sahaja, Finas telah menerima lebih 2,000 permohonan untuk mendapatkan dana, tetapi hanya 630 yang lulus tahap pertama permohonan,” ujarnya.
Md. Nasir juga memaklumkan, terdapat aduan mengenai wujudnya kartel di mana seorang individu sama menggunakan nama syarikat berbeza untuk mendapatkan dana.
“Setiap kali sesi pembentangan, kita akan pastikan penerbit, pengarah dan penulis skrip wajib hadir dan tidak boleh diwakili oleh orang lain,” tambahnya.
Dalam pada itu Md. Nasir menjelaskan, Finas akan menganjurkan Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32) di Melaka pada 2 Disember nanti.
Katanya, FFM32 turut memperkenalkan empat kategori baharu iaitu Anugerah Seniman Sepanjang Zaman, Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman, Anugerah Filem Cereka Pendek Terbaik dan Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik.
“Penjurian sudah bermula dan ketua juri juga sudah dilantik. Tahun ini, FFM akan mempertandingkan 28 filem cereka, 10 filem pendek dan 11 filem antarabangsa termasuk dari Iran dan Indonesia,” katanya.