SOUTHAMPTON – Newcastle United mula dianggap sebagai antara kuasa besar dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila melonjak ke kedudukan ketiga selepas membelasah Southampton 4-1 di Stadium St. Mary malam kelmarin.
The Magpies memastikan kemenangan keenam dalam tujuh perlawanan terakhir selepas Miguel Almiron, Chris Wood, Joe Willock dan Bruno Guimaraes masing-masing menjaringkan satu gol dalam perlawanan itu, manakala gol Southampton dijaringkan Romain Perraud.
Pengurus Newcastle, Eddie Howe bagaimanapun tidak mahu terlalu gembira biarpun ramai yang menganggap pasukannya mampu mencabar Arsenal dan Manchester City dalam perebutan takhta liga.
“Saya tahu dan lihat kedudukan liga sekarang, tetapi saya tidak mahu terlalu fokus. Bagi saya, kedudukan ketika ini belum membuktikan apa-apa kerana saingan liga masih panjang.
“Apa yang penting sekarang adalah saya mahu semua pemain kekalkan aksi seperti ini menjelang pusingan ketiga Piala Liga England (EFL) menentang Crystal Palace Khamis nanti,” katanya.
Biarpun menang, namun bekas pengendali Bournemouth itu masih belum berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan barisan pemainnya sepanjang perlawanan tersebut kerana beliau menganggap mereka boleh mempamerkan prestasi lebih baik. – AGENSI