LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp merasakan peminat bola sepak antarabangsa bakal melihat semula statistik dan mengenang Mohamed Salah sebagai seorang penyerang terhebat dunia.
Walaupun memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan aksi kurang konsisten, bintang dari Mesir itu mula menyerlahkan kualitinya ketika meledak dua gol untuk membantu The Reds menang 2-1 ke atas Tottenham Hotspur awal pagi semalam.
“Apabila anda melihat semula, semua orang akan mengingatinya sebagai salah seorang penyerang terbaik kerana pencapaiannya begitu hebat. Dia menjaringkan dua gol, bermain dengan baik, malah sikapnya juga begitu luar biasa.
“Ia adalah perlawanan yang sukar buat semua orang, tetapi kami berjaya tampil cemerlang di babak pertama. Jika kami mampu menjaringkan gol ketiga, segalanya akan berubah, namun kami gagal melakukannya.
“Walaupun Tottenham berjaya menjaringkan gol untuk merapatkan jurang, kami terus berjuang,” katanya.
Tiga mata itu adalah kemenangan sulung Liverpool di tempat lawan ketika Salah juga kini sudah pun merekodkan 14 gol dalam kesemua pertandingan.
Sementara itu, Salah turut akui nasib juga memainkan peranan ketika beliau berjaya memanfaatkan kesilapan Eric Dier untuk meledak gol kedua pada hujung babak pertama.
“Kami bernasib baik di babak pertama. Kami bermain dengan baik dan berjaya menjaringkan dua gol. Kami sudah melakukan tugas dengan baik untuk dapatkan tiga mata,” jelasnya. – AGENSI