fbpx

Dua lelaki tempatan ditahan terbabit kes samun berkumpulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pakaian dan barang yang digunakan suspek ketika menyamun bersama sejumlah wang serta rokok pelbagai jenis dipercayai hasil samun dari premis berkenaan.

PETALING JAYA – Dua lelaki warga tempatan berjaya diberkas susulan kes samun berkumpulan di kedai serbaneka 24 jam di Taman Maju Jaya, di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian sekitar pukul 5.28 pagi.

“Suspek disyaki warga tempatan telah masuk ke premis dengan memakai topi keledar dan pelitup muka serta menunjukkan tukul ke arah pengadu.

“Mereka berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM560 serta 49 kotak rokok pelbagai jenis dari premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya telah berjaya menangkap dua lelaki terbabit di alamat rumah tidak bernombor tepi Jalan PJS 6/2, Kampung Lindungan kira-kira pukul 3.30 petang.

“Pihak polis berjaya menangkap kedua suspek yang berusia antara 30an serta merampas barang kes yang dipercayai hasil samun.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai 12 rekod jenayah serta satu rekod dadah manakala, suspek kedua mempunyai satu rekod dadah,” katanya.

Fakhrudin memberitahu, dua suspek berkenaan direman selama lima hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI