KLUANG – “Ya Allah, kau sembuhkan anakku, kembalikanlah kesihatan dan penglihatannya agar dia boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain seusianya.”
Demikian doa Halimatun Hanimah Yusof, 37, terhadap anak keduanya yang mengalami penyakit Neurodegenerative Disorder, Mitochondrial Disease dan Neuroregression berkaitan otak serta saraf sejak lima tahun lalu.
Menurut Halimatun, penyakit dihidapi Melissa Nur Amani Sulaiman, 11, anak kedua daripada tiga beradik itu semakin teruk selepas dijangkiti Covid-19 pada Februari lalu.
Katanya, akibat jangkitan virus itu, anaknya hilang daya penglihatan, tidak boleh bercakap dan tiada kekuatan untuk bergerak, menyebabkannya hanya mampu terbaring.
“Dia anak yang cerdik dan aktif sebelum dijangkiti penyakit ini. Melissa sekarang hanya bergantung hidup sepenuhnya kepada saya untuk menguruskannya.
“Keadaan ini membuatkan saya dan suami buntu untuk mencari alternatif lain bagi mengubatinya selain rawatan di Hospital Sultanah Ismail (HSA) di Johor Bahru setiap bulan,” katanya di rumahnya di Taman
Sri Impian dekat sini baru-baru ini.
Halimatun berkata, suaminya yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan Hospital Enchee Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang secara hakikatnya tidak mampu untuk menampung keseluruhan kos perubatan Melissa.
Ujarnya, Melissa memerlukan susu khas bernilai kira-kira RM100 satu tin yang hanya mampu bertahan selama lima hari.
“Dia juga memerlukan lampin pakai buang yang perlu disalin di antara tiga hingga lima kali sehari selain keperluan ubat-ubatan yang tidak dapat diperoleh di hospital kerajaan.
“Keadaan ini membuatkan suami sedikit tertekan kerana perlu menyediakan sepenuhnya keperluan itu,” ujarnya.
Orang ramai yang bersimpati dengan nasib Melissa boleh menghulurkan sumbangan ke akaun bank ibunya 151061541393 (Maybank) atau menghubunginya di talian 017- 2245 622.