PETALING JAYA – Hampir 15,000 koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bakal menerima manfaat dalam proses pendigitalan perniagaan melalui perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara SKM, MYNIC Berhad dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), baru-baru ini.
MYNIC Berhad, agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang merupakan pendaftar dan pentadbir tunggal rasmi nama domain .MY telah memperkenalkan
Program Realisasi Impian Ekonomi Digital (Prime) dan nama domain COOP.MY sebagai identiti digital khas kepada koperasi berdaftar.
Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata, MoU tersebut merupakan salah satu inisiatif bersama untuk membantu koperasi meningkatkan kapasiti serta keupayaan perniagaan mereka daripada offline kepada online.
“COOP.MY bakal menjadi platform kepada mereka untuk meningkatkan daya saing serta kekal relevan selain merangsang pertumbuhan aktiviti ekonomi digital negara.
“Menerusi MoU ini, matlamat kami adalah untuk terus memainkan peranan yang sewajarnya sebagai salah satu pemboleh upaya di dalam ekosistem ekonomi digital dengan memperkasa mereka melalui pelbagai inisiatif yang dirancang,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasnul Fadhly berkata, MYNIC, SKM dan IKMa turut merancang untuk menganjurkan latihan transformasi pendigitalan kepada koperasi berdaftar di seluruh negara.
“MYNIC akan menyediakan program bimbingan berasaskan keperluan teknologi terkini serta platform komuniti selepas sesi latihan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada kumpulan sasar.”
“Kami akan berkerjasama dengan IKMa dari segi penggunaan kemudahan fasiliti dan infrastruktur bilik kuliah serta dewan untuk penganjuran latihan nanti,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE