fbpx

Cinta muzik Ramli Sarip tidak bermusim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli Sarip menghiburkan penonton dengan sebuah pengembaraan muzik penuh teladan menerusi hampir 20 buah lagu dendangan. – AFIQ RAZALI

TIADA istilah jemu buat Datuk Ramli Sarip dalam memperjuangkan semangat kemanusiaan, kerohanian dan kasih sayang sejagat menerusi muzik.

Langkah yang dimulakan lebih lima dekad lalu bersama Sweet Charity hingga mengambil keputusan bergerak solo pada tahun 1986 tidak pernah sumbang.

DNA seni cukup kental dalam diri membuatkan ikon yang dipanggil Papa Rock ini tidak pernah berhenti berkongsi keindahan naskah dendangan.

Pada usia genap 70 tahun 15 Oktober lalu, Ramli masih penuh energi turun naik pentas di seluruh negara bagi melengkapkan Konsert Jelajah Ramli Sarip – Cinta Di Sebalik Musim 2022.

Biar fasa pandemik memberi impak terhadap perancangan asal apabila perlu menganjak persembahan mega ke tahun ini, perkara tersebut sedikitpun menjejaskan semangatnya untuk terus melakar rentak.

Selepas menakluk Johor awal Oktober, rombongan Ramli bersama Rasa Music bergerak ke Melaka disusuli Perak, sebelum menggegarkan Zepp Kuala Lumpur tanggal 29 Oktober lalu.

Bersaksikan 1,000 penonton yang memenuhi gelanggang baharu di tengah segi tiga emas tersebut, Ramli memanaskan pentas menerusi lagu Sentosa Di Kubah Hayat daripada album Rasa yang diterbitkan pada 2021.

Lagu berkenaan dipilih sebagai simbolik pembuka gelanggang memandangkan konsert tersebut diinspirasikan daripada sebuah lagu dalam album sama iaitu Cinta Di Sebalik Musim.

Momentum persembahan dilonjakkan dengan seleksi malar segar daripada album Sweet Charity iaitu Sejuta Wajah dan Hilang Gelap Timbul Terang diikuti Panah Beracun, Kekasihku, Dunia Perlumbaan dan Batu.

Bagai sang pujangga mensyairkan puisi syahdu, gemersik vokal serak basah figura muzik disegani ramai itu nyata mampu meremangkan bulu roma.

Ramli sesekali menyelitkan pengalaman masa lampau selain menitipkan nasihat sebelum meneruskan persembahan.
Bagai seorang ayah mengingatkan anak-anak supaya menghargai kehidupan, celoteh bersahajanya disulami tawa mudah meresap di sanubari.

Berdurasi dua jam, penonton disajikan dengan lebih 16 lagu lama dan baharu yang bersilih ganti menghibur sukma seperti Irama Kasih, Keliru, Jikalau Berkasih, Cinta Di Sebalik Musim, Adam & Hawa dan Ronggeng Rakyat.

Tidak pernah mengecewakan, lagu Ribut 10.59 Pagi dan Musibah diperdengarkan sebelum kemuncak acara diakhiri lagu wajib, Kamelia serta Teratai yang dialunkan secara medley.

Diiringi pemuzik berpengalaman, Soul Journey yang diketuai Rozario (keyboard), Ritz (gitar), Addy (gitar), Din Safari (bass), Tom Annuar (dram) dan Mohar (seruling), sudah pasti ini bukan konsert biasa-biasa.

Terdahulu, Datuk Nash bersama maestro gitar, Man Kidal mengambil alih ruang gah tersebut bersama seleksi popular Lefhanded seperti Debunga Wangi, Ku Di Halaman Rindu, Seruan dan Keadilan.

Selepas di Zepp KL, Konsert Jelajah Ramli Sarip – Cinta Di Sebalik Musim 2022 bakal bergerak ke Kelantan (4 & 5 November) serta Sabah pada minggu seterusnya sebelum ke Sarawak pada 20 November.

Rombongan tersebut akan menghangatkan Singapura yang dijadualkan 17 Disember depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI