fbpx

Calon selebriti usah hanya jadi ‘penghibur’ PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azwan pada mulanya mahu bertanding Parlimen Gombak saat-saat akhir menarik diri.

ORANG yang bercita-cita menjadi juara dalam apa jua bidang wajib mempunyai kredibiliti.

Kalau tiada kelayakan yang itu, hiduplah manusia itu ­seperti kerbau yang dicucuk hidung. Ada kekuatan tetapi tidak mampu berlari sendiri.

Kerjanya hanya membajak, sampai waktu yang dikira tepat, disembelih untuk korban mahupun kenduri.

Kredibiliti adalah perkara nombor satu, namun seorang juara tidak hanya bersandarkan kredibiliti, harus ada integriti dan pengaruh juga.

Cukup kuat semua itu, faktor yang menjadi tanda aras juga adalah populariti! Dalam konteks pertandingan, cukup bagus atau cukup berkredibiliti, namun tidak dikenali pun tidak berguna.

Ketika ini, isu-isu berkait kredibiliti, integriti, pengaruh atau populariti sememangnya menjadi agenda paling hangat diperdebatkan seluruh rakyat sementelah seramai 945 calon yang bertanding merebut 222 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah pun diumumkan.

Abaikan senarai muka-muka lama yang sememangnya telah diketahui umum sejarah perjuangan panjang mereka dalam politik dan pentadbiran, namun melihat jumlah calon yang dikatakan teramai dalam sejarah PRU di Malaysia, terdetik satu persoalan, adakah muka-muka yang baharu mencuba nasib dalam edisi ke-15 ini benar-benar mempunyai kelayakan untuk diangkat sebagai pemimpin rakyat.

Adakah segelintir mereka sekadar mengisi portfolio peribadi, memasuki arena tumpuan lima tahun sekali untuk mengacu bakat untuk mencuba nasib semata-mata?

Penulis tidak mahu bercakap tentang calon-calon serius yang sememang wajib ada dalam pertarungan penentuan dan menentukan hala tuju jatuh bangun negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Apa yang menarik perhatian ialah kehadiran calon-calon popular, baik dalam kalangan selebriti, pensohor media sosial mahupun wanita-wanita cantik ‘beauty with brain’ dalam PRU tahun ini.

Untuk calon selebriti, sejarah PRU dalam dua penggal terakhir ini hanya menyaksi pelakon cantik Dira Abu Zahar dengan latar belakang keluarga politikus sahaja yang berjaya jadi wakil rakyat, selebihnya, hilang dibawa angin.

Nama-nama seperti Datuk Aishah Ariffin yang bertan­ding dalam PRU13 pada 2013 di Jempol, Negeri Sembilan, Dayangku Intan (PRU13 – Pengerang, Johor) dan Herman Tino (PRU13 – Tanjong Karang, Selangor) tidak lebih sekadar penghangat kempen.

Tahun ini, nama popular seperti Datuk Seri Eizlan Yusof, Ahmad Idham, Lando Zawawi dan Jurey Latiff Rosli juga seorang penerbit drama muncul sebagai calon bertanding. Lebih menarik, figura dengan gelaran ‘Ayahanda’, Rani Kulup turut bertanding di kerusi sama dengan Ahmad Idham.

Satu hal menarik, namun sayangnya tidak sempat berpanjangan, pengacara sensasi Azwan Ali kembali menum­pang kepanasan PRU15 apabila berdegar-degar mengesahkan bertanding lagi, malah hadir ke pusat penamaan sejak pagi, namun akhirnya di situ dia juga membuat kejutan menarik diri kerana alamat mimpi ibu kandung.

Penuh drama, lucu dan menghiburkan, kita pun kenal siapa Azwan Ali dan siapa Rani Kulup. Selamat berkempen semua!

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI