GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang disyaki melanggar syarat sah lesen ketika menangkap ikan semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, Kapal Maritim (KM) SIKUATI telah mengesan sebuah bot nelayan dengan menggunakan pukat tunda di kedudukan 12.96 kilometer barat daya Pulau Kendi, kira-kira pukul 10.15 pagi.
”Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan kelas C yang berpangkalan di Batu Maung itu dikendalikan tiga warga tempatan termasuk tekong yang masing-masing berumur 49 hingga 61 tahun.
”Bot terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, bot bersama kru, peralatan menangkap ikan serta ikan campur anggaran 30 kilogram disita dan dibawa ke Jeti Lembaga Ikan Malaysia Batu Maung untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
”Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara,” jelasnya.
Justeru, beliau meminta orang awam agar melaporkan sebarang penemuan dan kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut menerusi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang: 04-2626146. – KOSMO! ONLINE