fbpx

Azimah ada anak OKU tidak perlu bayar cukai jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zailani (kanan) memakaikan topi keledar kepada Nur Ainul sambil diperhatikan Azimah (kiri) di kediamannya di Jalan Ipoh tadi.

KUALA LUMPUR- Kisah seorang ibu tunggal yang terpaksa membawa anaknya juga orang kelainan upaya (OKU) penglihatan pergi bekerja sebagai penghantar makanan dilihat terbela apabila beliau menerima bantuan pengecualian cukai jalan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bantuan melalui inisiatif Pengecualian Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan OKU itu diberikan kepada Azimah Abd. Rahim, 37, selepas menerima kunjungan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim di kediamannya di Jalan Ipoh di sini tadi.

Menurut Zailani, JPJ menzahirkan rasa simpati terhadap nasib menimpa ibu tunggal berkenaan dan bersetuju memberikan beberapa bantuan termasuk pengecualian cukai jalan sebagai sebahagian insiatif JPJ seperti dibentangkan di bawah Bajet 2022.

“Selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia, JPJ menawarkan bantuan kepada Azimah melalui inisiatif Pengecualian Fi Lesen LKM
kenderaan OKU memandangkan ibu tunggal itu belum menerima manfaat berkenaan.

“Berdasarkan semakan JPJ, Azimah memenuhi kriteria ditetapkan dan layak menikmati keistimewaan pengecualian fi LKM sekali gus membantu meringankan beban kewangan beliau,” katanya kepada Kosmo!.

Zailani berkata, inisiatif itu diberikan kepada Keluarga Malaysia yang memenuhi syarat ditetapkan seperti merupakan golongan OKU atau dikategorikan sebagai ibu bapa, penjaga serta pasangan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Justeru, bagi yang layak dan belum menerima kesitimewaan itu, mereka boleh hadir ke mana-mana pejabat JPJ berhampiran untuk membuat pengisytiharan kali pertama dan memohon pengecualian fi LKM untuk kenderaan OKU.

“Keistimewaan pengecualian fi LKM untuk kenderaan OKU layak diberikan kepada kenderaan diubahsuai khas untuk kegunaan OKU atau bagi kenderaan motor yang tidak diubahsuai serta terhad kepada pemasangan tempatan sahaja,” ujarnya.

Selain itu, katanya, kenderaan terbabit hendaklah didaftarkan dan dilesenkan di atas nama individu tersebut selain perlu mempunyai kad OKU yang dikeluarkan JKM.

“Pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor yang dimiliki oleh ibu bapa dan penjaga yang berdaftar dan mempunyai anak atau pasangan OKU serta berdaftar dengan JKM,” katanya.

Dalam kunjungan itu juga, Zailani turut menyampaikan bantuan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak (CRS) selain aksesori tambahan keselamatan penunggang motosikal bagi memudahkan urusan menguruskan anaknya, Nur Ainul Zahirah Rashidi berusia enam tahun.

Sebelum ini, Kosmo! memaparkan ketabahan Azimah yang terpaksa membawa anaknya keluar bekerja sebagai penghantar makanan berikutan sukar mendapatkan khidmat pengasuh ekoran keadaan kanak-kanak itu yang OKU dan hiperaktif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI