fbpx

Artifak cangkerang siput, pecahan tembikar dijumpai di Gua Keris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mokhtar (kiri) menunjukkan artifak dipercayai cangkerang siput sedut dan pecahan tembikar berusia 1,000 hingga 5,000 tahun yang dijumpai di Gua Keris, Dabong, Kuala Krai hari ini. - Foto ROSMIZAN RESDI

KUALA KRAI – Beberapa cangkerang siput sedut dan pecahan tembikar dipercayai berusia antara 1,000 hingga 5,000 tahun ditemui di Gua Keris, Dabong di sini pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin berkata, artifak itu ditemui oleh sepasukan pegawai pasukannya ketika membuat penilaian Stong Geopark melibatkan tiga gua di Dabong iaitu Gua Keris, Gua Pagar dan Gua Ikan.

Menurutnya, berdasarkan kajian, siput sedut merupakan bahan makanan dan juga barang pengebumian masyarakat pra sejarah di kawasan gua.

“Selain itu, pecahan tembikar yang dijumpai juga dipercayai mempunyai ciri-ciri pada zaman neolitik yang dipercayai berusia antara 1,000 hingga 5,000 tahun.

“Kita menjumpai artifak ini di permukaan tanah dan ia bermakna penyelidikan arkeologi yang lebih saintifik perlu dilakukan bagi membolehkan artifak lain yang masih belum diganggu ditemui,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Daerah Dabong (MDD) di sini hari ini.

Sebahagian artifak dipercayai cangkerang siput sedut (kiri) dan pecahan tembikar berusia 1,000 hingga 5,000 tahun yang dijumpai di Gua Keris, Dabong, Kuala Krai hari ini. – Foto ROSMIZAN RESDI

Dalam pada itu, Mokhtar berkata, pihaknya hanya membawa keluar beberapa sampel sahaja untuk diserahkan kepada MDD untuk tindakan lanjut.

Katanya, masih banyak cangkerang siput sedut itu dan pecahan tembikar berada di lokasi berkenaan.

Katanya, hasil penemuan itu sekali gus membuktikan gua berkenaan menjadi tempat tinggal masyarakat pra sejarah dan berpotensi untuk dikaji.

“Pihak MDD boleh membuat permohonan kajian lebih lanjut dari Jabatan Warisan Negara supaya melakukan kajian di lokasi berkenaan.

“Jika mendapat kebenaran, kami akan mengkaji dan menghantar ke makmal pentarikhan di luar negara seperti Amerika Syarikat dan Korea Selatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI