GEORGE TOWN – Seorang anggota polis berpangkat koperal dilaporkan maut dalam kemalangan di Kilometer 5.3 Jambatan Pulau Pinang di sini lewat malam tadi.
Mangsa, Abu Talib Sarif, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira pukul 12.48 malam.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk tindakan lanjut.
Polis menerusi kenyataan media di Facebook berkata, perkhidmatan terakhir allahyarham adalah di Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK).
“Jenazah akan dikebumikan selepas solat zohor di Sungai Petani, Kedah,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku ketika anggota terbabit dalam perjalanan pulang daripada bertugas ke rumahnya di bahagian pulau.
Tinjauan Kosmo! di Jabatan Forensik HSJ di sini sebentar tadi mendapati jenazah anggota terbabit dikatakan sudahpun dibawa pulang ke Bedong, Sungai Petani. – KOSMO! ONLINE