KOTA TINGGI – Seorang suami bersyukur apabila menerima sumbangan daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bernilai RM8,000 sebagai modal untuk meneruskan kehidupan selepas kematian isterinya.
Wassal Fallah Abdul Ghani, 41, berkata, dia kini menjadi ‘ibu’ bagi lima anaknya selepas isterinya, Maskuria Osman, 36, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Sepinang, Segamat meninggal dunia akibat kanser payudara September lalu.
Mengimbau semula kejadian itu, Wassal Fallah berkata, isterinya menghidap penyakit itu ketika sedang mengandungkan anak bongsu mereka.
Katanya, ketika itu penyakit isterinya sudah masuk ke tahap trimester kedua sebelum doktor mengesahkan kanser sudah masuk tahap empat dan merebak ke tulang.
“Ketika itu isteri sempat jalani kimoterapi sebanyak empat kali yang sepatutnya perlu jalani enam kali. Namun, rawatan kelima terhenti sekejap kerana isteri melahirkan anak.
“Ekoran tempoh yang lama terhenti daripada menjalani rawatan kimoterapi, ketumbuhan yang pada awalnya sudah surut membesar kembali menyebabkan keadaan isteri semakin tidak stabil sebelum meninggal dunia,” katanya selepas menerima sumbangan wang itu daripada Pengerusi YGMB, Aminuddin Adam di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi, hari ini.
Menurut Wassal Fallah, dia amat memerlukan sumbangan itu kerana ketika ini masih belum memulakan kerja.
Dia yang bekerja sebagai jurujual kini menetap bersama-sama ibunya di kampung dan dibantu adik beradik dalam menguruskan anak-anaknya terutamanya yang bayi.
“Alhamdulillah perasaan lega dapat sumbangan ini, dapatlah gunakan untuk anak bersekolah. Anak-anak berusia 14, 12, lapan dan empat tahun. Sebelum ini isteri kerja pagi, saya kerja pada waktu petang. Jadi, kami bergilir menjaga anak dan tidak hantar ke rumah pengasuh,” katanya.
Sumbangan sama turut diserahkan kepada waris Allahyarham Linda Minhat, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab Kota Tinggi yang juga meninggal dunia akibat kanser payudara Jun lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya menerima banyak tuntutan akibat pelbagai penyakit kritikal melibatkan guru-guru berusia kurang daripada 50 tahun.
“Manfaat yang disediakan oleh YGMB di bawah Skim 18, Skim 16, Skim Emas dan Skim Ahli Seumur Hidup ini dapat membantu guru-guru serta ahli keluarga mereka untuk meneruskan kehidupan apabila berlaku musibah yang tidak dijangka seperti kemalangan dan kematian disebabkan penyakit kronik,” katanya.