PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di 10 negeri sehingga pukul 9 malam ini.
MetMalaysia berkata, seluruh negeri Perlis dijangka berdepan dengan cuaca buruk, manakala di Kedah hanya tertumpu pada kawasan Kubang Pasu, Padang Terap, Sik dan Baling.
“Bagi Perak pula melitupi Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.
“Di Pantai Timur, hujan lebat dijangka melibatkan kawasan di Kelantan (Jeli dan Gua Musang) manakala Terengganu (Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Bentong, Temerloh, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin),” ujarnya menerusi kenyataan di laman sesawangnya.
Tambah MetMalaysia lagi, amaran ribut petir turut dikeluarkan di Negeri Sembilan (Jempol) manakala di Johor (Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
“Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk diramalkan bagi kawasan Sri Aman, Miri (Subis, Beluru dan Marudi) dan Limbang manakala Sabah di Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Beluran) dan Kudat (Kota Marudu),” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE