BALIK PULAU – Tindakan licik seorang remaja lelaki berusia 16 tahun menunggang motosikal yang dipercayai dicuri akhirnya memakan diri apabila diberkas polis lewat pagi semalam.
Suspek yang dikatakan tidak lagi bersekolah itu ditahan ketika menunggang motosikal jenis Honda EX5 seorang diri dalam keadaan mencurigakan di satu jalan di Relau, Bayan Lepas di sini.
Difahamkan, suspek ketika itu cuba melarikan diri namun berjaya diberkas sepasukan polis Daerah Barat Daya.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya hari ini, suspek diberkas menerusi operasi Ops Lejang.
“Pihak polis turut merampas barang kes iaitu (1) motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam, (1) batang anak kunci dan (1) topi keledar berwarna biru tertera tulisan RS88,” tulis kenyataan itu.
Dalam pada itu, satu lagi tangkapan melibatkan seorang lagi remaja lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai turut terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal dilakukan di hadapan sebuah rumah di sekitar Balik Pulau.
“Hasil pemeriksaan ke atas motosikal tersebut didapati masih dilaporkan hilang. Pihak polis telah merampas (1) motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru dan (1) topi keledar bewarna hitam tertera tulisan MHR III,” jelasnya lagi.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan kerana mencuri. – KOSMO! ONLINE