Oleh DATO SERI DR MOHAMED MUSTAFA ISHAK
KEMUNCULAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 dari UMNO mungkin merupakan sesuatu yang tidak pernah di kirkan oleh ramai pihak setelah UMNO
dan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bintang beliau terserlah setelah diangkat sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen setelah UMNO/BN mendapat peranan baharu sebagai pembangkang kepada kerajaan Pakatan
Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sebagai Ketua Pembangkang mewakili parti utama yang telah biasa menerajui kerajaan selama lebih enam dekad, tugas Ismail Sabri tidaklah mudah.
Walaupun UMNO dan BN mempunyai ketuanya, iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, tetapi tugas besar tersebut diserahkan kepada Ismail Sabri untuk menggalasnya.
Maka bermulalah era UMNO/BN menjadi pembangkang di Parlimen dengan Ismail Sabri sebagai ketuanya.
Di sinilah bintang Ismail Sabri sebagai pemimpin masa hadapan UMNO/BN mula terserlah apabila beliau harus menggalas tugas sukar ini di ketika kerajaan di bawah PH mula
membongkar satu demi satu kesalahan dan kesilapan kerajaan BN di bawah Datuk Seri Najib Razak Tun Razak.
Dengan sejumlah pemimpin UMNO yang sebahagiannya Ahli Parlimen mula didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan yang dikaitkan dengan salah guna kuasa dan rasuah, ditambah pula sejumlah yang lain melompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memimpin kerajaan, kedudukan UMNO/BN yang baru kalah PRU kelihatan berada dalam situasi amat parah, seolah-olah telur di hujung tanduk dan nyawa di hujung pedang.
BN juga menghadapi cabaran hebat apabila terdapat parti-parti komponen utama meninggalkan gabungan itu, membiarkan hanya MCA dan MIC yang masih setia dan terkial-kial mencari haluan baharu.
Tanpa pemimpin utama parti yang bergelut dengan kes mahkamah dan sebahagian lain mula menjauhkan diri dari parti serta terdapat juga berkira-kira mahu melompat parti menyertai PH atas pelbagai sebab, Ismail Sabri terus setia dan istiqamah memimpin UMNO/BN di Parlimen.
Beliau, menghadapi pelbagai kecaman, penghinaan dan maruah yang tercalar teruk.
Di ketika inilah, karisma dan kepemimpinan Ismail Sabri mula terserlah dengan pendekatan tenang, sabar dan berhemah menghadapi tohmahan PH yang pada ketika itu ibarat kaduk naik junjung dan seperti gadis julung bersubang, bujang julung berkeris.
Mungkin sebahagian kita lupa betapa keupayaan Ismail Sabri menyanggah hujah dan berdepan menteri-menteri baharu dari PH terma suk ahli-ahli Parlimennya yang
saban masa hanya menyalahkan dan mencari jalan memperlekehkan UMNO/BN yang masih bergelut mencari hala tuju dan masa depan.
Beliau harus mengembleng tenaga dan sisa-sisa kekuatan yang masih tinggal dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen UMNO/BN bagi menghadapi serangan bertubi-tubi dari PH.
Tidak terkecuali, serangan itu muncul di media sosial yang jauh lebih keras dan tanpa selindung atas kebebasan baharu yang diperoleh apabila pemerintahan bertukar tangan.
Justeru, keupayaan beliau memimpin UMNO/BN di Parlimen dan kedudukan sebagai Ketua Pembangkang jelas teruji selama 22 bulan di bawah pemerintahan kerajaan PH.
Di ketika lain-lain pemimpin kanan UMNO tidak bersedia memikul tugas berat ini, Ismail Sabri tampil dengan penuh rendah hati dan tabah mengambil tanggungjawab memegang panji-panji UMNO/BN di Parlimen dengan tenang, tetapi gagah demi maruah partinya.
Beliau terus dihormati kawan dan lawan dalam melaksanakan tugas baharunya di Parlimen menghadapi Dr. Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Kit
Siang dan Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan lainnya.
Tidak terkecuali, Ahli Parlimen Jelutong, RN Rayer yang setiap masa bangkit mengherdik dan memperlekehkan UMNO/BN dan pemimpinnya.
Kredit yang sewajarnya harus diberikan kepada beliau atas kepemimpinan cemerlangnya sebagai Ketua Pembangkang UMNO yang pertama di Parlimen selepas mengalami kekalahan teruk pada PRU14.
Tidak mudah melaksanakan tugas ini di ketika UMNO/BN hanya tinggal nyawa-nyawa ikan, apatah lagi berdepan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri
buat kali kedua, yang mahu melihat UMNO hilang dari persada politik negara.
Tidaklah keterlaluan jika dikatakan Ismail Sabri berjaya memberikan pimpinan kepada Ahli-Ahli Parlimen UMNO/BN di Parlimen pada masa mereka berada dalam keadaan moral
yang rendah dan serba inferior dalam menghadapi PH.
Ismail Sabri tampil dengan tenang memikul tanggungjawab memimpin UMNO dan BN menghadapi kerajaan PH dan penyokongnya di Parlimen.
Apakah Ismail Sabri lulus cemerlang dalam peranannya sebagai Ketua Pembangkang UMNO/BN di era PH?
Saya kira ramai yang bersetuju jika dikatakan beliau lulus dengan kepujian dalam ujian pertamanya sebagai pemimpin UMNO/BN dalam peranannya
sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen pasca PRU14.
Tidak hairanlah dengan rekod cemerlang ini, ditambah dengan rekod seterusnya sebagai Menteri Kanan, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri, beliau diberi tanggungjawab mengemudi UMNO dan BN sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU15, pada 19 November ini.
Ismail Sabri ternyata berjaya membuktikan ketokohan memimpin di saat waktu UMNO dan BN, malah rakyat seluruhnya, memerlukan kepimpinan dan atas rekod cemerlang
beliau ini, disertai bantuan pemimpin Top 5 UMNO lainnya, adalah diyakini UMNO dan BN akan berjaya dalam PRU15.
—————————————————————————————————————————-
DATO SERI DR. MOHAMED MUSTAFA ISHAK ialah Profesor Emeritus dari Universiti Utara
Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (mulai 2019).